KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang melihat nilai ambang di negeri-negeri sebelum membuat keputusan untuk membenarkan negeri yang kesnya tidak begitu tinggi beralih dari Fasa Satu ke Fasa Dua dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya kini sedang meneliti perkara tersebut dan sudah dibincangkan dalam sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, penduduk negeri yang kesnya rendah berasa tidak adil mereka masih berada dalam Fasa Satu sedangkan kes tinggi dicatatkan di Selangor dan Kuala Lumpur, bukan di negeri mereka.

“Kita akan melihat dari nilai ambang berdasarkan negeri-negeri sebab orang negeri lain kata tak adil mereka tak boleh berpindah ke Fasa Dua sebab kes di Selangor tinggi.

BACA: COVID-19: Kes tinggi di Selangor, KL ... lagi kawasan PKPD diumum petang ini?

“Perlis misalnya, kes dua digit, kadang-kadang satu digit pun satu hari tapi kerana Selangor menyumbang kes yang besar, dia (Perlis) terpaksa diletakkan dalam Fasa Satu.

“Sepatutnya mungkin sudah boleh pindah ke Fasa Dua dan Fasa Tiga,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan  di Pusat Pemberian Vaksin Mega (PPV) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Khamis.

Turut hadir mengiringi beliau ialah Pengarah Eksekutif World Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) Datuk Seri Irmohizam Ibrahim dan Ketua Pegawai Eksekutif WTCKL, Mohd Yusri Junos.

Tambah Ismail Sabri, cadangan tindakan yang perlu dibuat di negeri yang kes rendah sudah ada namun perlu diperincikan terlebih dahulu.


[TERKINI] Sidang Media Menteri Kanan Pertahanan | 1 Julai 2021

Semalam, Astro AWANI melaporkan Perlis, Kelantan dan Terengganu antara beberapa negeri yang dijangka beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) minggu depan.

Menurut sumber, keputusan untuk menamatkan ‘total lockdown’ di beberapa negeri dibuat oleh pentadbiran Putrajaya berpandukan nilai ambang di negeri-negeri tersebut yang telah berjaya dilandaikan hasil Pelan Pemulihan Negara.

Begitupun, Ismail Sabri dalam sidang media pada Khamis menegaskan pengumuman berkaitan perkara itu mestilah daripada kerajaan.

“Cuma saya gambarkan, ya, kita sedang melihat kepada nilai ambang berdasarkan negeri-negeri, bukan setakat nasional.

“Setakat ini belum ada pengumuman lagi, selagi tida pengumuman, kita anggap ia sebagai khabar angin saja,” ujarnya.

Ismail Sabri sebelum ini menegaskan bahawa Malaysia masih berada dalam Fasa Satu PPN.

Menurut beliau, ia selepas tiga indikator nilai ambang utama peralihan ke Fasa Kedua masih belum dicapai.