SEREMBAN: Cadangan meneruskan pembinaan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura), merupakan usaha yang baik terutama dalam meningkatkan ekonomi di Negeri Sembilan, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan jika projek tersebut diteruskan, kerana rakyat dapat menikmati kemudahan pengangkutan awam yang lebih maju, selain memberi nilai tambah kepada ekonomi di negeri-negeri selatan.

"Sejak Kerajaan Perpaduan mengambil alih pentadbiran negara, perkara tersebut ditimbulkan, Sultan Johor (Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar) telah meminta projek ini diteruskan semula, ini merupakan satu perkara baik, hubungan dua negara juga dapat diperkukuhkan.

"Kita tidak membatalkan tapak atau laluan sedia ada, kita masih menggunakan laluan itu jika tiada perubahan dari jajaran laluan tersebut. Kerajaan negeri juga merancang mewujudkan sebuah bandar baharu di kawasan tersebut," katanya pada sidang media selepas merasmikan Careplus Mall di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas titah Sultan Ibrahim mengenai projek HSR KL-Singapura yang dibatalkan, perlu dihidupkan semula dalam temu bual eksklusif dengan The Straits Times Singapura.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata kerajaan sedang meneliti model pelaksanaan baharu bagi projek HSR yang dicadangkan, ia termasuk model pembiayaan baharu untuk menentukan sama ada mana-mana pihak swasta berminat untuk menampung kos projek, pengurusan sistem dan operasi HSR.

Berdasarkan perancangan sebelum ini, Seremban merupakan antara tujuh stesen HSR yang bakal dibina bagi projek yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu.

Jajaran landasan di negeri itu membabitkan laluan sepanjang 52 kilometer, manakala stesen HSR Seremban dicadang dibina di Labu, Nilai di sini.

-- BERNAMA