KUCHING: Bekas Yang Dipertua Dewan Negara yang juga tokoh korporat, Tan Sri Abang Ahmad Urai Abang Mohideen meninggal dunia di Pusat Rawatan Pakar Normah, di sini sekitar jam 12.30 tengah malam Sabtu.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 89 tahun.

Terdahulu, beliau menghadiri majlis makan malam sempena pelantikan dan pemasyhurannya sebagai Penaung Persatuan Kebangsaan Melayu Sarawak (PKMS) di Hotel Waterfront di sini.

Mesra dikenali sebagai ‘Nek Udak’ atau ‘Udak’, veteran politik ini dipilih sebagai Yang Dipertua Dewan Negara menggantikan Tan Sri Benedict Stephens bermula pada 12 Julai 1988 hingga 9 Julai 1990.

Sebelum itu, beliau pernah menjawat Timbalan Yang dipertua Dewan Negara bemula 29 Julai 1985 hingga 10 Julai 1988.

Terdahulu, Ahmad Urai dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada 13 November 1984 setelah dipilih oleh Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Dilahirkan pada 23 Jun 1933, beliau mendapat pendidikan di St Joseph School, Kuching dan pada 1953 memperoleh Overseas Junior Cambridge School Certificate pada 1953.

Setelah itu, Ahmad Urai memulakan kerjaya sebagai penjawat awam dengan memasuki pentadbiran British pada Oktober 1954. Beliau bertugas di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di Bangunan Sekretariat di Kuching, yang kemudian dikenali sebagai Jabatan Ketua Menteri.

Beliau bagaimanapun melepaskan jawatan pada 1969 untuk terlibat sepenuh masa dalam politik.

Pada 1974, beliau dipilih mewakili Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) untuk bertanding di DUN Saribas. Ahmad Urai yang berusia 41 tahun ketika itu berjaya menewaskan calon parti SNAP, Stephen Chong Kai Hong, dengan majoriti 1,603 undi, di kawasan yang mempunyai 7,304 pemilih.

Kemenangan itu membolehkan beliau dilantik sebagai Menteri Muda di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan pada 1976.

Ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak pada 1978, Ahmad Urai diminta berpindah ke kerusi DUN N13 Semera dan sekali lagi, beliau menang selesa.

Pada 26 Mac 1981, dalam kabinet pertama Tun Abdul Taib Mahmud, beliau dilantik sebagai Menteri Muda Pertanian dan Pembanguna Masyarakat.

Ahmad Urai amat berminat dengan kesenian dan nyanyian, serta pernah terlibat dalam persembahan bangsawan pada usia mudanya.

Pada usia persaraannya, termasuk ketika menjawat Pengerusi Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU), syarikat yang mengendalikan projek Lebuh Raya Pan Borneo, beliau amat mudah didekati dan sering bermesra dengan rakyat.

Malah pada 31 Mei lalu, beliau berjaya menarik perhatian dengan suara lunaknya, mendendangkan lagu di satu majlis Aidilfitri yang turut dihadiri Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Ahmad Urai berkahwin dengan Maria Anne Abdullah dan dikurniakan dua anak. Manakala perkahwinan keduanya adalah dengan Puan Sri Monique Miles Abdullah.

Jenazah Allahyarham akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam di Masjid Bahagian Kuching pada Ahad.