Seorang lelaki warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan memberi sogokan RM500 sebagai dorongan pegawai polis membebaskan rakannya yang juga seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) baru-baru ini.

Tertuduh Chass Diaz,39, yang juga bekerja sebagai nelayan mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang dibacakan di hadapan Hakim Abdul Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa cuba memberi sogokan kepada seorang pegawai polis berpangkat koperal yang bertugas di Unit Rondaan Bermotosikal di pejabat Ibu Polis Daerah (IPD) Penampang berkenaan kira-kira jam 1.52 petang pada 14 Mac lepas.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Sekyen 24(1) Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim turut menerima permohonan tertuduh untuk meringankan hukuman kepada penjara 10 hari bermula pada tarikh ditangkap iaitu pada 15 Mac lalu dan denda RM10, 000.

Jumlah wang sogokan RM500 turut dilucutkan hak kepada kerajaan manakala pasport tertuduh akan dikembalikan setelah selesai menjalani hukuman.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sabah, Rozanna Abdul Hadi dan Rustam Sanip manakala tertuduh tidak diwakili peguam.