KUALA SELANGOR: Para nelayan menyambut baik keprihatinan kerajaan dalam menjaga kesejahteraan sosio-ekonomi dan permasalahan mereka yang terlibat dalam industri perikanan.

Seorang nelayan di Sungai Sembilang, Kuala Selangor, Ahmad Nizam Jamaluddin, 42, berkata, peruntukan atau sumbangan yang disalurkan kepada komuniti tersebut termasuk menaiktaraf kemudahan dilihat dapat membantu mereka dalam melancarkan urusan harian.

“Pengkalan ataupun jeti ini memang akan kerap rosak kerana ia terendam dengan air dan terdedah dengan panas matahari apabila air surut. Justeru itu, mungkin dalam tempoh dua atau tiga tahun akan rosak dan perlu diperbaiki.

“Di sini,  antara permasalahan lain adalah sungai… ia agak cetek, jika air surut kami tidak dapat pulang ke darat dan terpaksa menunggu air pasang sebelum bot boleh lalu. Justeru itu, kita minta agar dapat mengorek supaya sungai menjadi lebih dalam dan memudahkan nelayan keluar masuk,” katanya.

Nizam berkata demikian ketika ditemui selepas sesi Santai Petang TZA Bersama Para Nelayan Selangor dan Penduduk Sekitar Sungai Sembilang, Kuala Selangor.

Industri Perikanan | Nelayan Sg. Sembilang sambut baik keprihatinan kerajaan

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menghadiri majlis tersebut berkata, kerajaan sebelum ini mencadangkan untuk menaikkan peruntukan subsidi serta insentif kepada RM1.8 bilion bagi industri pertanian dan perikanan pada tahun hadapan.

Tambahnya, subsidi dan insentif hasil tangkapan nelayan juga dicadang untuk dinaikkan kepada RM178.2 juta berbanding RM151.2 juta ketika ini, malah pada tahun ini sahaja, kerajaan menyediakan RM1.7 bilion untuk subsidi dan insentif bagi industri tersebut.

Dalam pada itu, menurut salah seorang penduduk Sungai Sembilang, Ruzaimi Ayob, 52, memang nampak perkembangan khususnya dari segi bantuan-bantuan yang disalurkan oleh kerajaan untuk jeti nelayan di sini.

“Saya sudah 50 tahun di sini dan boleh nampak banyak perkembangan bantuan diberikan kepada komuniti nelayan di Sungai Sembilang ini.

“Malah, memang nampak nelayan di sini juga turut komited dalam menaik taraf hidup mereka dengan sokongan insentif diterima daripada kerajaan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis sama.

Sementara itu, tekong mancing, Mohd. Hizrian Mokhtar, 36, berkata, nelayan-nelayan muda di sini turut mula menceburi sektor pelancongan dengan membawa pelancong melakukan aktiviti memancing dan eagle feeding (memberi makan kepada burung helang) selain melawat daya tarikan seperti Sky Mirror.

“Sebelum ini memang kita juga ada menerima sokongan daripada Jabatan Perikanan dan LKIM dalam menaik taraf pelancongan khususnya dalam sektor pemancingan ini.

“Justeru itu, kami sangat berharap untuk mana-mana pihak yang akan memerintah sebagai kerajaan selepas ini dapat terus ‘memandang’ industri perikanan ini khususnya kami para nelayan kecil,” jelasnya.

Zafrul dalam pada itu turut menyumbang sebanyak RM10,000 bagi setiap jeti, kepada tujuh buah jeti nelayan dilawati khususnya bagi pembaikan kecil hingga projek naik taraf bagi kemudahan para nelayan di Sungai Sembilang.