Nelayan warga emas hilang di Jeti Pantai Rambah ditemui lemas

Seorang nelayan warga emas yang dilaporkan hilang sejak semalam selepas keluar menangkap ketam berhampiran Jeti Pantai Rambah, telah ditemukan lemas petang tadi. - Foto JBPM Johor/via BERNAMA
JOHOR BAHRU: Seorang nelayan warga emas yang dilaporkan hilang sejak semalam selepas keluar menangkap ketam berhampiran Jeti Pantai Rambah, di sini, telah ditemukan lemas petang tadi.
Komander Operasi Kanan Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mahadir Mamat Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pontian Baru berkata mayat mangsa, yang dikenali sebagai Tan Swee Kuan, 65, ditemukan pada jam 4.20 petang berhampiran kawasan Sangkar Pancing Barakah, Kukup, oleh anggota Polis Marin yang menjalankan rondaan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Penemuan mangsa dibuat hasil koordinasi bersama pasukan Polis Marin yang melakukan pencarian mengikut sektor di perairan berhampiran. Mangsa kemudian dibawa ke Jeti Kukup untuk proses pengecaman oleh ahli keluarga," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mahadir berkata operasi SAR yang disertai anggota BBP Pontian Baru bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta komuniti nelayan tempatan itu ditamatkan sebaik mangsa ditemukan.
Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Pontian untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mohamad Shofee Tayib turut mengesahkan penemuan mayat nelayan tersebut pada pukul 4.20 petang.
Terdahulu, beliau dalam kenyataan berkata nelayan tersebut dilaporkan hilang selepas keluar mencari ketam di Jeti Pantai Rambah, di sini, kira-kira 1.30 tengah hari, namun pada 7.15 malam dia disedari tidak pulang ke rumah.
Mohamad Shofee berkata isteri mangsa kemudian memaklumkan kepada abang iparnya bahawa suaminya tidak pulang, lalu abang iparnya membuat laporan polis pada malam yang sama.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat telah dilancarkan semalam sebaik laporan diterima, dengan melibatkan pasukan polis serta agensi berkaitan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


