Skip to main content

Malaysia

NexG kata tiada komen lanjut mengenai dakwaan salah guna dana Victor Chin

NexG
NexG, yang baru-baru ini menyelesaikan konflik dalaman lembaga pengarahnya, memaklumkan bahawa pihaknya mengakui penerimaan memorandum yang dikemukakan oleh MCW berhubung pelaburan syarikat. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: NexG Berhad menegaskan bahawa syarikat itu kekal mematuhi piawaian kawal selia dan tadbir urus korporat, tetapi tidak akan memberikan komen lanjut berhubung dakwaan Malaysia Corruption Watch (MCW) yang mengaitkan bekas Ketua Pegawai Operasinya, Victor Chin Boon Long, dengan isu salah guna dana.

Menurut NexG, pendirian itu diambil bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak selain memastikan proses tadbir urus berjalan secara teratur.

Advertisement

“Selaras dengan amalan tadbir urus yang baik dan bagi mengelakkan spekulasi yang boleh menjejaskan mana-mana pihak, NexG tidak akan terlibat dalam sebarang komen awam lanjut berhubung dakwaan khusus ini pada ketika ini,” menurut kenyataan syarikat itu.

Victor Chin, yang memegang jawatan COO dari November 2024 hingga September 2025, didakwa oleh MCW sebagai berpotensi menggelapkan dana syarikat berjumlah RM303.7 juta. MCW sebelum ini menyerahkan memorandum kepada pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG, Datukk Abu Hanifah Noordin, menggesa penjelasan yang jelas dan telus diberikan kepada umum.

NexG, yang baru-baru ini menyelesaikan konflik dalaman lembaga pengarahnya, memaklumkan bahawa pihaknya mengakui penerimaan memorandum yang dikemukakan oleh MCW berhubung pelaburan syarikat.

“NexG ingin menegaskan bahawa syarikat memandang serius perkara yang dibangkitkan dan kekal komited kepada prinsip ketelusan, tadbir urus yang baik serta pematuhan terhadap semua peraturan yang berkuat kuasa.

“Semua maklumat berkaitan pelaburan syarikat, termasuk rasional, struktur dan perkembangan korporat yang berkaitan, telah didedahkan sewajarnya melalui pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia selaras dengan keperluan penyenaraian, selain melalui saluran komunikasi awam lain,” jelas kenyataan itu.

NexG turut menegaskan bahawa semua pendedahan berkaitan pelaburannya telah dibuat secara tepat pada masanya dan telus.

“Syarikat akan terus memberikan kerjasama penuh kepada mana-mana pihak berkuasa kawal selia atau penguat kuasa yang berkaitan sekiranya sebarang penjelasan atau semakan diperlukan,” katanya lagi.

NexG, yang sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Bhd, merupakan pembekal tunggal buku pasport dan produk berkaitan MyKad di Malaysia, dan kini berada di bawah perhatian susulan dakwaan cubaan pengambilalihan oleh apa yang digelar sebagai ‘mafia korporat’.

Must Watch Video