Skip to main content

Malaysia

NexG nafi dakwaan pakar ekonomi, tegaskan pematuhan terhadap rangka kerja ditetapkan

NexG
Dalam satu kenyataan hari ini, NexG berkata pihaknya merujuk kepada artikel yang diterbitkan oleh Astro AWANI, termasuk laporan yang memetik pandangan pakar akademik berhubung operasi, tadbir urus serta kontrak kerajaan syarikat itu.

KUALA LUMPUR: Syarikat NexG Berhad (NexG) menegaskan bahawa operasi dan urus tadbir syarikat itu sentiasa mematuhi rangka kerja kawal selia yang ditetapkan.

Dalam satu kenyataan hari ini, NexG berkata pihaknya merujuk kepada artikel yang diterbitkan oleh Astro AWANI, termasuk laporan yang memetik pandangan pakar akademik berhubung operasi, tadbir urus serta kontrak kerajaan syarikat itu.

Advertisement

"Walaupun NexG menghormati pandangan akademik, syarikat perlu menegaskan bahawa kenyataan yang dibuat mencerminkan pemahaman yang tidak lengkap dan, dalam beberapa aspek, tidak tepat mengenai bagaimana sebuah syarikat tersenarai awam beroperasi dalam persekitaran yang dikawal selia," ujar kenyataan.

Syarikat itu turut menegaskan bahawa sebagai entiti tersenarai di Bursa Malaysia, ia bertanggungjawab sepenuhnya kepada pemegang saham, pihak berkuasa kawal selia serta keperluan penyenaraian dan obligasi pendedahan yang ketat.

Katanya lagi, semua urus niaga korporat termasuk pengambilalihan dan keputusan strategik telah diumumkan mengikut keperluan Bursa Malaysia, tertakluk kepada semakan kawal selia dan diluluskan oleh pemegang saham apabila diperlukan,

"Sebarang dakwaan bahawa proses-proses ini telah diketepikan adalah tidak benar dari segi fakta," tambah kenyataan.

Mengulas gesaan supaya audit forensik dijalankan dan kontrak kerajaan digantung, NexG berkata langkah sedemikian merupakan intervensi kawal selia serius yang memerlukan bukti kukuh salah laku dan tidak boleh dibuat berdasarkan spekulasi.

"Syarikat mengingatkan agar cadangan yang terburu-buru atau tidak berasaskan maklumat tepat dielakkan kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan tidak perlu dan menjejaskan keyakinan terhadap projek infrastruktur negara," tegas syarikat itu.

Berhubung kerugian nilai saksama, NexG menjelaskan ia adalah pelarasan perakaunan bukan tunai selaras piawaian pelaporan kewangan dan tidak mewakili kerugian atau penyelewengan dana.

NexG turut mengakui perkara lalu, termasuk yang berkaitan dengan Victor Chin, telah dilaporkan secara terbuka.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutifnya, Ishak Ismail, berkata syarikat itu menghormati peranan ahli akademik dalam wacana awam, namun menegaskan ulasan mengenai industri dikawal selia perlu berasaskan pemahaman jelas terhadap rangka kerja perundangan dan kawal selia.

"Syarikat hari ini berada di bawah lembaga baharu dengan mandat yang jelas iaitu untuk beroperasi dengan integriti, ketelusan dan disiplin.

"Isu-isu lalu telah ditangani, dan kami memberi tumpuan sepenuhnya untuk bergerak ke hadapan dan kami kekal komited menyokong kerajaan dan melindungi kepentingan negara dengan tahap profesionalisme tertinggi," ujar beliau.

NexG turut menegaskan komitmennya untuk terus mengamalkan tadbir urus korporat yang kukuh, pematuhan kawal selia, integriti operasi serta menyokong infrastruktur keselamatan negara, selain menyeru semua pihak merujuk kepada fakta sahih dan pendedahan rasmi dalam memberi ulasan.

NexG Berhad, sebelum ini dikenali sebagai Datasonic Group Berhad, merupakan penyedia penyelesaian teknologi keselamatan bersepadu yang terlibat dalam projek kritikal negara termasuk MyKad, ePasport dan sistem biometrik.

Sebelum ini, seorang pakar ekonomi berpandangan kerajaan wajar dan berasas untuk menggantung atau menyemak semula kontrak NexG jika dapatan siasatan mengesahkan salah laku serius melibatkan dakwaan salah guna dana bekas Ketua Pegawai Operasinya, Victor Chin.

Tambahnya, kerajaan juga wajar mengarahkan audit bebas atau audit forensik, selain meletakkan syarat tatakelola tambahan (enhanced governance conditions) ke atas syarikat berkenaan.

Must Watch Video