National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) amat berharap untuk mendapat kelulusan daripada pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kewangan, untuk melangsaikan baki pinjaman RM250 juta NFCorp daripada kerajaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail menegaskan, cadangan penyelesaian itu telah dinyatakan melalui beberapa surat kepada Kerajaan Malaysia seawal satu tahun setengah lalu iaitu pada bulan November 2018, sehingga paling terkini pada 4 Februari 2020.

"Sehingga sekarang NFCorp tidak dapat kelulusan untuk membuat pembayaran balik itu, malah satu saman sivil terhadap NFCorp dan beberapa pihak telah dituntut oleh pihak Peguam Negara untuk pembayaran pinjaman tersebut.

"Keputusan kerajaan untuk memfailkan saman sivil apabila pihak NFCorp sudahpun mencadang pembayaran balik amat mengejutkan dan mengelirukan.

"Pemfailan saman sivil itu adalah untuk menuntut pembayaran balik baki pinjaman, walhal NFCorp sudahpun setuju untuk membayar balik baki hutang yang sama seawal satu tahun setengah lalu, jika dapat persetujuan Kementerian Kewangan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.

Dalam pada itu, Dr Mohamad Salleh berharap Peguam Negara dan Kementerian Kewangan akan memberi peluang yang adil dan saksama kepada pihaknya untuk menyelesaikan dan melangsaikan baki hutang pinjaman.

NFCorp sebelum ini dilaporkan akan membayar balik baki tertunggak pinjaman mereka kepada kerajaan.

Kata Dr Mohamad Salleh, NFCorp sudahpun mempunyai pembeli baru bersetuju untuk membayar balik baki pinjaman mereka sepenuhnya dalam masa tiga bulan bermula tarikh yang dipersetujui dengan kerajaan untuk penstrukturan semula syarikat itu.