NG999: Tiada lagi masalah selepas perbincangan dengan TM, kementerian - Fahmi

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bercakap pada Mesyuarat Ketiga, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Isu gangguan teknikal melibatkan pelaksanaan platform baharu Next Generation Emergency Services 999 (NG999) telah berjaya ditangani sepenuhnya susulan pertemuan antara Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan (KKM) dan Telekom Malaysia Bhd (TM) baru-baru ini, persidangan Dewan Negara diberitahu hari ini.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata pertemuan yang diadakan dengan Menteri Kesihatan di ibu pejabat TM telah menyelesaikan beberapa perkara berkaitan pelaksanaan sistem berkenaan.
"Beberapa isu telah diuruskan dan hingga kini tiada lagi sebarang masalah melibatkan sistem. Kebanyakan isu yang berbangkit membabitkan aspek personel yang telah disusun semula oleh TM dan Kementerian Kesihatan.
"Hal itu juga telah diuruskan dengan baik, jadi alhamdulillah, hari ini tiada lagi sebarang isu berbangkit," katanya ketika sesi penggulungan bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.
Mengulas celahan Senator Dr A. Ligeshwaran yang bertanyakan kemungkinan bentuk tindakan terhadap TM susulan masalah yang berlaku pada lima hari pertama pelaksanaannya, Fahmi berkata perkara itu tertakluk kepada penelitian jawatankuasa bersama yang ditubuhkan bagi menilai apa-apa bentuk pelanggaran.
"Sekiranya ada penalti yang boleh dikenakan, saya serahkan kepada pasukan yang meneliti. Jika hasil semakan mendapati berlaku pelanggaran, kita akan ikut berpandukan apa yang termaktub dalam kontrak yang telah ditandatangani," katanya.
Beliau turut menjelaskan pelaksanaan NG999 adalah di bawah tanggungjawab TM sebagai penyedia infrastruktur telekomunikasi yang menerima panggilan kecemasan pertama sebelum disalurkan kepada agensi penerima termasuk KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Fahmi berkata sistem NG999 dibangunkan untuk menggantikan Malaysian Emergency Response Services (MERS999) dengan peruntukan keseluruhan RM1.25 bilion merangkumi pembangunan dan pengoperasian selama 12 tahun.
Beliau berkata proses pelaksanaan mematuhi semua prosedur dan perjanjian termasuk User Acceptance Test (UAT) yang telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan.
"Sewaktu sistem dihidupkan, dari segi proses dan prosedur semua telah ikut aturan. Maksudnya pihak Kementerian Kesihatan juga telah bersetuju menandatangani UAT. Ini adalah antara dapatan awal daripada kajian Kementerian Komunikasi dan KKM," katanya.
Dalam perkembangan lain berhubung peningkatan risiko keselamatan kanak-kanak akibat pendedahan kepada kandungan mudarat dan permainan dalam talian, Fahmi berkata kerajaan sedang mengkaji cadangan umur minimum 16 tahun bagi pengguna media sosial melalui Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866], yang akan diperincikan melalui instrumen subsidiari dan Kod Perlindungan Kanak-Kanak.
Katanya, antara Januari 2022 hingga 30 Nov lepas, sebanyak 1,569 permohonan penurunan kandungan jelik melibatkan kanak-kanak dikemukakan kepada platform media sosial dengan 95 peratus daripadanya telah diturunkan.
Fahmi juga memaklumkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerima 52,315 permohonan penurunan kandungan buli siber, dengan 76 peratus daripadanya diturunkan bagi tempoh 1 Jan 2022 hingga 30 Nov.
Dalam menangani perjudian dalam talian, katanya sebanyak 458,697 permohonan penurunan kandungan berunsur judi dikemukakan, dan 96 peratus daripadanya telah diturunkan dalam tempoh sama. Sebanyak 6,247 laman judi dalam talian turut disekat.
Menjawab cadangan supaya kerajaan membangunkan permainan digital tempatan berimpak tinggi, Fahmi berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) terus menyokong pembangunan kandungan kreatif.
Melalui Dana Kandungan Digital dan Teknologi Kreatif (DKK), sebanyak 58 projek permainan digital telah disokong oleh syarikat tempatan, manakala 38 penciptaan hak cipta dihasilkan antara 2022 hingga 2024, katanya.
Mengulas tentang penyelenggaraan kabel di kawasan pedalaman yang diajukan beberapa senator, beliau berkata tanggungjawab itu terletak kepada penyedia perkhidmatan atau syarikat yang terlibat dalam pemasangan infrastruktur serta penyelenggaraan, termasuk kabel gentian optik.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


