KUALA LUMPUR : Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming menyumbang sebulan gajinya sebagai hadiah kepada pemenang-pemenang Anugerah Inovasi Perdana Sektor Awam (AiPSA) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 7 Nov 2023. 

Beliau memaklumkan perkara itu selepas mesyuarat kabinet yang berlangsung pada Jumaat.

"Semasa mesyuarat pasca kabinet petang ini, saya telah memberi satu bulan gaji saya kepada kakitangan KPKT yang berjaya memenangi kategori tertinggi AiPSA sebagai pengiktirafan atas jasa dan bakti mereka.

"Malaysia Madani, pemimpin dan rakyat berpisah tiada," katanya menerusi laman sosial X.

Terdahulu KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah melakar sejarah
apabila inovasi peranti Audio Frequency Intercept System (AFIS) berjaya menjadi johan, sekali gus membawa pulang ganjaran wang tunai RM1 juta, trofi dan sijil pada pertandingan AIPSA 2023.

"Inovasi peranti Audio Frequency Intercept System (AFIS) turut dinobatkan sebagai johan (Trek Keselamatan dan Pentadbiran) bagi Anugerah Inovasi Sektor Awam (AInSA) 2023.

"Di samping itu juga, KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) turut merangkul Johan (Trek Ekonomi) bagi Anugerah Inovasi Sektor Awam (AInSA) 2023 melalui PBTPay-Inovasi Gerbang ePembayaran Berpusat Sektor Awam yang menawarkan hadiah kemenangan masing-masing berjumlah RM200,000, trofi dan sijil," memetik siaran media KPKT sebelum ini.