KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming hari ini menegur sikap segelintir pengunjung yang meninggalkan sampah sarap di Dataran Merdeka selepas menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 awal pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, beliau melahirkan rasa sedih terhadap tindakan membuang sampah di merata tempat tanpa segan silu.
"Negara kita dah merdeka hampir 70 tahun. Semua orang ada pergi sekolah. Tolong tanya: Sampai bila kita nak erti jaga kebersihan?
"Sampai hati buang sampah merata tempat dan tanpa segan silu? Sedih, saya berasa sangat sedih," katanya.
Terdahulu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memaklumkan akan menjalankan kerja-kerja pembersihan di Dataran Merdeka yang dipenuhi sampah sarap selepas ribuan penyokong berhimpun menyaksikan siaran langsung perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026.
Awal pagi tadi, Dataran Merdeka dibanjiri lebih 25,000 peminat bola sepak yang berhimpun bagi menonton perlawanan akhir kejohanan itu, yang menyaksikan Sepanyol menewaskan Argentina 1-0.
-- BERNAMA