Ngah Ibrahim simbol pemimpin Melayu amal sistem pentadbiran tersusun, berpandangan jauh

Ngah Ibrahim wajar diangkat sebagai contoh pemimpin Melayu yang menjadi inspirasi dalam usaha memperkukuh jati diri bangsa serta memupuk semangat kenegaraan dalam kalangan rakyat masa kini, kata Mohammad Zahir. - Gambar Bernama
TAIPING: Pembesar Melayu, Tengku Menteri Ngah Ibrahim atau Ngah Ibrahim wajar diangkat sebagai contoh pemimpin Melayu yang menjadi inspirasi dalam usaha memperkukuh jati diri bangsa serta memupuk semangat kenegaraan dalam kalangan rakyat masa kini.
Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata, ia dibuktikan melalui pentadbiran Ngah Ibrahim di Larut pada abad ke-19 yang menzahirkan kemampuan orang Melayu ketika itu mengamalkan sistem pentadbiran secara tersusun dan berpandangan jauh.
"Ngah Ibrahim merupakan tokoh reformis yang menerapkan pendekatan moden dalam pentadbiran. Beliau telah memperkenalkan sistem kepolisian, mahkamah dan pelabuhan yang teratur jauh sebelum kedatangan British ke Tanah Melayu.
"Hal ini membuktikan bahawa orang Melayu bukan bangsa yang mundur. Kita telah pun memiliki sistem pentadbiran moden dan berfikiran jauh sebelum penjajahan berlaku," katanya selepas menghadiri Seminar Pengisahan Perjuangan Tengku Menteri Ngah Ibrahim dan Pelancaran Buku Kota Ngah Ibrahim dalam Lipatan Sejarah di Muzium Matang, di sini, pada Sabtu.
Beliau turut mencadangkan agar usaha mempergiat kajian dan penulisan semula sejarah tokoh negeri seperti Ngah Ibrahim dipertingkat bagi memastikan fakta sejarah dapat diteliti semula berdasarkan dokumen dan sumber baharu yang kini lebih mudah diakses pengkaji tempatan.
Mohammad Zahir berkata, program ilmiah, seminar serta penyelidikan lapangan perlu diperbanyak supaya masyarakat dapat memahami sejarah Perak dengan lebih mendalam selain tidak bersandarkan kepada tafsiran atau cerita turun-temurun semata-mata.
"Dahulu bahan rujukan kita terhad dan banyak dokumen penting berada di luar negara seperti di United Kingdom dan Belanda, namun dengan kemajuan teknologi dan keterbukaan pihak luar hari ini, bahan berkenaan sudah boleh dirujuk semula," katanya.
Beliau berkata, penubuhan jawatankuasa khas juga merupakan langkah terbaik bagi mengesan serta mendapatkan semula khazanah dan artifak sejarah Perak yang kini berada di luar negara.
"Bukan sahaja dokumen dan gambar lama, tetapi juga artifak serta bahan warisan lain perlu dikembalikan kerana ia merupakan simbol maruah dan sejarah bangsa yang mesti dipertahankan," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


