Sebuah pertubuhan baru bukan kerajaan yang menggelarkan diri mereka sebagai 'Warga Untuk Tata Kelola Pemerintahan Bertanggungjawab' (CAGM) muncul tiba-tiba dan dilihat membuat tuduhan ke atas Tun Dr Mahathir Mohamad.

Malah dalam satu kenyataan oleh pengerusi CAGM Md Zainal Abidin hari ini, menawarkan RM1 juta kepada mana-mana pihak yang berani tampil ke depan memberi maklumat mengenai harta tersembunyi dan wang tunai yang dimiliki bekas perdana menteri itu.

Menurut laporan portal Malay Mail, Md Zainal dalam kenyataan itu berkata pihaknya akan merahsiakan identiti pemberi maklumat berkenaan.

“Habuan tersebut bernilai RM1 juta dan akan diberikan pada setiap individu dengan syarat maklumat yang diberikan mestilah sahih, mempunyai nilai yang besar serta mempunyai bukti yang boleh digunakan oleh agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang untuk mendapatkan semula kekayaan ini tersembunyi ini,” kata Md Zainal.

Dalam kenyataan yang sama, Md Zainal berkata berdasarkan penyelidikan media yang dibuat oleh pihak mereka, Dr Mahathir mampu menjadi perdana menteri selama 22 tahun kerana memiliki kemewahan yang banyak.

“Kebanyakannya harta tersebut disembunyikan di luar pesisir pantai melalui pelbagai lapisan syarikat, penama dan proksi,”katanya.

Md Zainal turut memetik maklumat dari Wikipedia pada Disember 2012 yang mengatakan bahawa Dr Mahathir adalah perdana menteri yang berkhidmat paling lama dan merupakan ketua kerajaan kedua terkaya selepas Presiden Mesir Hosni Mubarak, dengan anggaran kekayaan berjumlah US$44 bilion (RM161 bilion).

Memetik laporal portal MalaysiaKini, pertubuhan itu menurut Md Zainol baru ditubuhkan sebulan yang lalu dan telah mempunyai kira-kira 2,000 ahli.

Pada Jumaat, CAGM menyatakan rancangan mereka untuk menyaman Dr Mahathir sebanyak RM50 bilion kerana membazirkan wang pembayar cukai ketika beliau menjadi perdana menteri antara 1981 hingga 2003.