Semua pihak memainkan peranan besar untuk menjadikan pemikiran dan pengalaman Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ke satu institusi khususnya bagi membincangkan isu Islam, demokrasi dan pentadbiran, kata penganalisis politik, Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin.

Beliau berkata demikian dalam program siaran langsung Buletin AWANI khas bersama pengacara, Nazri Kahar.

Peguam Yusmadi Yusoff juga menjadi tetamu jemputan dalam mengenang ketokohan Nik Abdul Aziz yang telah kembali ke rahmatullah apda jam 9.40 malam semalam.

“Beliau bukan sahaja seorang ulama malah ahli politik. Semua nilai kepimpinan dan keperibadian yang baik tergambar dalam perwatakannya.

“Nik Aziz juga berjaya mengungkap isu berkaitan soal pemerintahan. Beliau seorang pemikir. Namun, pada masa yang sama dia juga seorang murabbi (guru) yang tidak lepas daripada tanggungjawab untuk mengajar walau dalam keadaan sibuk sebagai pemimpin politik,” ujar Shaharuddin.

Tambah beliau, jika dilihat dalam politik Kelantan sendiri, masyarakat tidak melihat pada parti tetapi menilai ketokohan yang dimiliki Nik Aziz.

“Figura yang berprinsip ini merentasi parti politik. Seiring dengan ketokohan itu, beliau menggambarkan peribadinya sebagai seorang bapa, suami dan pemimpin masyarakat yang baik,” ujar beliau.

Dari sudut pengaruh dan penerimaan dalam kalangan generasi muda, Yusmadi pula memberitahu bahawa pemimpin tersebut meninggalkan fenomena inspirasi yang tinggi.

Lebih penting daripada itu, beliau berjaya menjadi pemimpin yang dekat di hati rakyat melalui pendekatannya.

“Sebagai pemimpin yang terlibat dengan politik sejak usia muda hingga ke akhir hayatnya, beliau dilihat sebagai seorang yang bersederhana dan tahan dugaan kemewahan serta kuasa,” kata Yusmadi.

Peguam tersebut turut memberitahu, Nik Aziz hingga pada hari-hari terakhirnya dalam keadaan tenat masih prihatin terhadap isu-isu melibatkan kaum wanita.


Tok Guru meninggalkan inspirasi yang melangkau batas usia dan kaum
Tidak terkecuali, nilai-nilai yang ada pada Nik Aziz menjadikannya seorang yang sangat manusiawi. Ketegasan dan kelembutan dalam pendekatannya boleh diangkat sebagai model kepimpinan yang perlu dibanggakan di rntau ini dan seluruh dunia.

Yusmadi turut mengesyorkan usaha kesarjanaan Nik Aziz melalui terjemahan hasil pemikiran termasuk ilmu pentadbiran beliau ke medium bahasa lain seperti Inggeris dan Arab agar dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai pihak.

Sementara itu, Pengarah Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti (UMCEDEL), Dr. Amir Saifude Ghazali yang diwawancara melalui talian memberitahu, parti politik khususnya PAS perlu mencari nilai ketokohan seperti Nik Aziz yang memahami suasana politik Malaysia yang mempunyai kepelbagaian latar kaum, budaya dan agama.

“Apa yang perlu dilaksanakan adalah mencari sosok pemimpin dengan perwatakan yang menyamai Nik Aziz. Beliau memahami kehendak pelbagai etnik dan bijak menyesuaikan diri serta tahu untuk bergerak dalam kerangka politik negara,” ujarnya yang yakin PAS akan menuju ke arah tersebut.

[GALERI FOTO]: MAJLIS PENGEBUMIAN DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT (1931-2015)