Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini, semakin pulih.

Anaknya Nik Mohamad Abduh berkata keadaan ayahnya bertambah baik berbanding semalam selepas tiga hari menerima rawatan di hospital itu.

"Hari ini lebih baik, sedar untuk solat Subuh seperti biasa malah lebih ceria. Ayahanda juga meminta untuk makan bubur nasi dan pihak hospital tunaikannya.

"Kanser prostat tahap empat yang dialami tidak menjejaskan fungsi badan lain selepas ayahanda lulus ujian yang dilakukan doktor," katanya kepada pemberita ketika ditemui di HUSM di sini, hari ini.

Nik Mohamad Abduh yang juga Anggota Parlimen Pasir Mas berkata buat masa sekarang doktor tidak membenarkan orang ramai melawat ayahnya secara dekat kerana dikhuatiri boleh mendatangkan kesan kepada kesihatannya.

"Bimbang dengan jangkitan lain, doktor hanya membenarkan pelawat melihat dari luar bilik kaca sahaja," katanya.

Beliau berkata ayahnya akan terus dirawat di ICU kerana tahap kesihatannya masih dalam pengawasan.

"Alhamdulillah rawatan doktor untuk kanser nampak berkesan, kita harap kesihatannya akan pulih seperti biasa," katanya.

Mursyidul Am PAS itu, dimasukkan ke hospital berkenaan Isnin lepas kerana tahap kesihatannya merosot ketika banjir baru-baru ini, selain menghidap kanser prostat.

Nik Abdul Aziz, 84, yang menjadi menteri besar Kelantan sejak 1990, menyerahkan jawatan itu kepada timbalannya Datuk Ahmad Yakob selepas pilihan raya umum ke-13 pada 2013.