SHAH ALAM: Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Badrul Hisham Shaharin.

Ia berhubung dakwaan kes rasuah rancangan tebatan banjir bernilai lebih RM16 bilion yang didedahkan oleh Badrul Hisham atau dikenali sebagai Che'gu Bard.

Menurut Nik Nazmi, tindakan itu akan dibuat dalam masa terdekat.

"Saya ingin menafikan kenyataan fitnah yang dikeluarkan oleh Che'gu Bard yang mendakwa terdapat elemen rasuah dalam projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang dikendalikan oleh kementerian saya," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tuduhan yang tidak berasas oleh Che'gu Bard menunjukkan beliau tidak memahami proses perolehan dan peruntukan belanjawan kerajaan.

"Kerajaan ini telah menilai semula cadangan projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi untuk memberikan keutamaan kepada kawasan kritikal dengan siling peruntukan pembangunan keseluruhan 33 projek RTB yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kewangan berjumlah RM11.8 bilion, bukan RM16.6 bilion," katanya.

Jelasnya, hampir kesemua projek RTB Kerajaan pada tahun ini masih melalui proses tender dan untuk tahun ini 19 projek telah dikeluarkan surat setuju terima (SST).

"Belum ada perbelanjaan yang telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan," tegas beliau.

Ujar beliau, projek RTB kerajaan melalui proses perolehan yang telus melibatkan tata kelola MOF serta mesyuarat Lembaga Perolehan yang mana beliau sendiri tidak terlibat.

"Ia bukan kali pertama Che'gu Bard datang dengan tuduhan liar dan tidak berasas.

"Beliau sudah beberapa kali kalah saman kerana terbukti memfitnah. Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini," katanya.

Pada Rabu, Che'gu Bard menggesa polis menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

Dakwanya syarikat guaman di Klang dan Batang Kali, Selangor juga terlibat dalam perjanjian projek tebatan banjir tersebut.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian