KUALA LUMPUR: Tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi kesihatan dan kanak-kanak menggesa Kementerian Kesihatan (KKM) mengembalikan semula nikotin dalam senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun 1952.

Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Pertubuhan Green Lung Malaysia (GLMA) dan persatuan hak kanak-kanak, Voice Of The Children (VOC) menegaskan tindakan memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Menteri Kesihatan, bukan dibuat kerana agenda politik.

Sebaliknya, menurut Presiden MCTC, Dr Murallitharan Munisamy langkah tersebut bagi memastikan ia tidak memberi kemudaratan kepada kesihatan rakyat negara ini, khususnya golongan muda dan kanak-kanak.

"Nikotin ini dalam masa 72 jam sudah boleh menjadi ketagih. Dalam saya tunggu sekitar 160 hingga 170 hari untuk Parlimen bersidang semula, saya mungkin akan ada 5,000 hingga 10,000 kanak-kanak baharu yang ketagih nikotin.

"Jadi itu adalah seuatu yang kita tidak boleh pandang remeh, dan ini yang menyebabkan kita pergi ke peringkat seterusnya iaitu perundangan," katanya dalam sidang media di sini pada Selasa.

Dalam masa sama, beliau berharap KKM tidak mencabar semula semakan yang dibuat oleh kumpulan antitembakau itu.

Dr Murallitharan menambah, ahli MCTC secara konsisten mempromosikan kawalan tembakau untuk kesihatan dan keselamatan awam sejak beberapa dekad lalu.

Terdahulu media melaporkan MCTC, GLMA dan VOC memfailkan permohonan itu melalui firma guaman, Kanesalingam & Co pada Jumaat lalu, dengan menamakan Menteri Kesihatan dan kerajaan sebagai responden.

Ketiga-tiga pemohon menyatakan bahawa Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa pada 31 Mac lalu, membuat Perintah Racun (Pindaan Senarai Racun) 2023 selepas berunding dengan Lembaga Racun.

Sehubungan itu, MCTC yang menaungi lebih 40 pertubuhan, MGLA dan VOC menyifatkan menteri tidak bertindak secara rasional dengan ketidakwajaran prosedur yang dilihat tidak seimbang kerana sepatutnya bertanggungjawab melindungi kesihatan awam.

Sebelum ini, Dr Zaliha berkata, pengecualian cecair nikotin daripada senarai racun adalah 'proses wajar' kerajaan bagi membenarkan duti eksais dikenakan ke atas rokok elektronik dan cecair vape mengandungi nikotin.