PUTRAJAYA: Biarpun dikenakan kompaun RM10,000, itu tidak bermaksud penerima kompaun berkenaan perlu menjelaskan jumlah tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, tertuduh, sebaliknya, masih boleh merayu di peringkat Pejabat Kesihatan Daerah atau di mahkamah.

Katanya lagi, jumlah itu boleh dikurangkan berdasarkan budi bicara pegawai diberikuasa atau majistret yang mengadili kes berkenaan.

“Misalnya kalaulah pegawai polis yang diberikuasa oleh Ketua Pengarah Kesihatan untuk Akta 342, dia boleh memberikan kompaun, dia mempunyai budi bicara dalam melaksanakan bidang kuasa.

“Sebab itu Ordinan ini menyebutkan tidak melebihi RM10,000. Kalau tidak, apa sebab dia letak tidak melebihi jumlah itu. Ia boleh jadi RM100, atau mungkin RM1,000... terpulang pada jenis kesalahan yang dilakukan oleh individu tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah bagi menjelaskan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) (No. 2) 2021, yang berkuatkuasa hari ini.



[TERKINI] Sidang media Ordinan Darurat

Mulai hari ini, mana-mana individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) sewaktu tempoh pelaksanaan Darurat, boleh dikenakan denda sehingga RM10,000, berdasarkan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.



Had Kompaun Baharu | 330 kompaun dikeluarkan hari pertama pelaksanaan

Terdahulu, tular mengenai seorang individu dikenakan kompaun RM10,000 kerana gagal mencatat kehadiran sama ada melalui buku catitan atau aplikasi MySejahtera di sebuah restoran di ibu negara.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, tidak mustahil untuk individu berkenaan dilepaskan hanya dengan amaran jika rayuan mempunyai asas yang kukuh.

"Tak perlu bayar pada ketika itu juga. Pergilah ke Pejabat Kesihatan, jumpa pegawai yang diberikan kuasa. 

"Kalau nak lagi, boleh pergi ke mahkamah. Senang untuk mitigate. Tapi tak ramai orang nak pergi ke mahkamah. Majistret boleh siap discharge kalau benda itu first offender dan sebagainya," jelas beliau lagi.



Ingkar | Kompaun RM10,000 berkuat kuasa hari ini

Berhubung tempoh pelaksanaan Ordinan Darurat bagi mengekang penularan berita tidak benar, Takiyuddin menegaskan, ia mempunyai jangka hayat iaitu sehingga enam bulan selepas tempoh Darurat tamat.

Tegasnya lagi, kerajaan sama sekali tidak boleh menukar Ordinan berkenaan menjadi Rang Undang-undang melalui Parlimen.