Skip to main content

Malaysia

Nilai MoU MAHA cecah RM12.6 bilion, atasi sasaran awal - Mohamad Sabu

PUTRAJAYA, 5 Sept - Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen MAHA 2026 di sebuah hotel malam ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamad ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvensyen MAHA 2026 di Putrajaya, malam tadi. - Gambar Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Nilai memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 mencecah RM12.6 bilion, melebihi sasaran awal sebanyak RM8 bilion.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pencapaian itu antaranya disumbangkan oleh nilai komitmen pelaburan dari China yang mencecah RM4 bilion, manakala Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menyumbang RM1.5 bilion khusus bagi membangunkan industri baja di Malaysia.

"Sasaran asal kita untuk MoU ialah RM8 bilion tetapi sekarang kita telah melepasi RM12.6 bilion. Hal ini membuktikan keyakinan pelabur yang amat tinggi tentang industri pertanian dan agro makanan negara.

"Kita harap perkara ini berterusan esok (Ahad) sebab sambutan terhadap MAHA kali ini amat luar biasa. Esok Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan merasmikan majlis penutup," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penutup Konvensyen MAHA 2026, di sini, pada Sabtu.

Konvensyen dua hari bermula semalam itu dihadiri 200 peserta terdiri daripada golongan peladang, penternak, nelayan dan usahawan agromakanan muda, dengan menumpukan kepada perkembangan teknologi terkini dalam sektor pertanian, penternakan, perikanan dan industri makanan.

Selain MoU, Mohamad berkata, MAHA 2026 telah berjaya menarik kehadiran 3.45 juta pengunjung setakat 10 malam Jumaat, dengan pergerakan lebih 690,000 kenderaan membanjiri Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.

Mengenai angka jualan, beliau berkata, nilai keseluruhan telah melebihi RM55 juta dan berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran RM58 juta menjelang hari terakhir esok, dipacu oleh peningkatan jualan di semua pavilion negeri.

Mohamad turut meluahkan rasa bangga terhadap belia khususnya bumiputera yang mula menceburi bidang pertanian moden secara sepenuh masa merangkumi sektor perikanan, penternakan serta penanaman nanas.

"Kita mahu mereka menjadikan sektor ini sebagai punca mata pencarian utama dan terus memperkasakan keterjaminan makanan negara. Syabas kepada LPP (Lembaga Pertubuhan Peladang) atas usaha berterusan membimbing dan membantu bakat baharu ini," katanya.

Mengenai jurang perdagangan agromakanan, Mohamad berkata, pihaknya memberi tumpuan khusus bagi merapatkan defisit eksport dan import pertanian negara berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

"Nilai import barangan pertanian kita ketika ini amat tinggi iaitu melebihi RM70 bilion dengan jurang eksport yang ketara. Oleh itu, esok saya akan membuat pengumuman khas mengenai langkah-langkah untuk meningkatkan eksport pertanian negara," katanya.

Mohamad turut menitipkan pesanan kepada semua penerima Anugerah Agro Award agar tidak sekadar bangga dengan pengiktirafan yang diterima, sebaliknya membuktikan kemampuan mereka menerusi penglibatan secara lebih serius dan berimpak tinggi dalam sektor pertanian negara.

Sementara itu, Usahawan Peladang Terbaik, Khirul Nizam Tan yang mengusahakan Laman Zulfakar Sdn Bhd menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterima selepas lebih 10 tahun berkecimpung dalam sektor penternakan di Ipoh, Perak.

"Saya memulakan perniagaan dengan ternakan lembu, kambing dan kini rusa. Saya juga mengembangkan operasi syarikat menerusi pelbagai aktiviti hiliran seperti pemprosesan daging segar, produk sedia dimakan serta penyediaan perkhidmatan agropelancongan," katanya yang menerima hadiah wang tunai RM15,000.

Khirul Nizam berkata, kejayaan itu turut didorong oleh sokongan berterusan daripada pelbagai agensi kerajaan serta pembiayaan kewangan daripada Agrobank, manakala tahun ini dia terpilih menyertai program Ladang Kontrak Agrobank menerusi pembiayaan bernilai lebih RM3 juta untuk bertindak sebagai mentor bagi membimbing 30 mentee dalam bidang penternakan.

Anugerah Agro Award kali ini turut mengiktiraf 12 pemain industri pertanian termasuk Lee Huat Seng (Rasa Pitaya Enterprise) sebagai Agropreneur Muda Terbaik; Johar Mad Othman sebagai Nelayan Terbaik; Pak Ali Food Industries Sdn Bhd bagi kategori Pemasar Agromakanan Terbaik serta Pertubuhan Peladang Kawasan Jerantut dinobatkan sebagai Pertubuhan Peladang Terbaik.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement