KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 negeri dan wilayah mencatatkan kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) melebihi purata kebangsaan pada Isnin.

Nilai Rt semalam naik ke 1.07 berbanding 1.06 pada hari sebelumnya.

Perlis mencatat kadar tertinggi dengan 1.37 diikuti Kelantan (1.21), Sabah (1.16), Perak (1.15), Terengganu (1.14), Sarawak (1.14), Kedah (1.13), Pulau Pinang (1.12), Pahang (1.10) dan Johor (1.09).

Negeri Sembilan, Melaka, Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya merekodkan kadar di bawah purata kebangsaan.

Sementara itu, Labuan mencatat satu kes baharu.

Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac, manakala yang tertinggi ialah 1.21 pada 23 Mei.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.