KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 di Malaysia terus mencatat penurunan untuk hari kelima berturut-turut.

Pada Rabu, ia susut ke 1.09 berbanding 1.12 hari sebelumnya.

Dua belas negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan melebihi purata kebangsaan dengan Terengganu tertinggi pada 1.31, diikuti Kedah, Sabah, Pulau Pinang, Johor dan Pahang.

Putrajaya dan Kelantan masing-masing dengan kadar 1.18 manakala negeri lain yang melepasi purata kebangsaan ialah Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan Melaka.

Negeri dengan Rt di bawah purata kebangsaan adalah Kuala Lumpur, Sarawak dan Labuan, sementara Perlis merekodkan dua kes baharu.

Kadar kebolehjangkitan terendah yang pernah direkodkan tahun ini ialah 0.81 pada 3 Mac lalu, manakala yang tertinggi ialah 1.21 pada 23 Mei.

Nilai R-naught merujuk kepada tahap kebolehjangkitan sesuatu virus, iaitu berapa ramai individu yang boleh dijangkiti oleh satu kes positif.