KUALA LUMPUR: Dalam landskap global yang semakin dinamik, usaha memastikan bekalan ubat kekal stabil dan mencukupi terus menjadi keutamaan negara.
Seiring perubahan semasa termasuk cabaran rantaian bekalan dan perkembangan geopolitik, Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dilihat sebagai langkah strategik kerajaan untuk memperkukuh sektor farmaseutikal tempatan secara mampan.
Advertisement
Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Prof Amrahi Buang menegaskan, pelan tersebut memberi hala tuju jelas dalam memperkukuh sektor farmaseutikal negara agar lebih berdaya tahan, khususnya dalam menghadapi krisis yang tidak dijangka.
“NIMP 2030 adalah satu tindakan dasar yang penting oleh kerajaan. Ia memberi hala tuju yang jelas untuk menjadikan sektor farmaseutikal negara lebih berdaya tahan dan tidak terlalu bergantung kepada sumber luar,” katanya dalam temu bual program Niaga AWANI.
Menurut beliau, kebergantungan terhadap import masih menjadi cabaran utama, terutama apabila gangguan logistik global boleh menjejaskan keseluruhan rantaian bekalan ubat.
“Selagi kita masih bergantung kepada bahan mentah dan pengeluar bahan farmaseutikal aktif (API) dari luar negara, selagi itu kita terdedah kepada risiko gangguan bekalan,” ujarnya.
Sehubungan itu, usaha meningkatkan kapasiti pengeluaran tempatan menjadi antara fokus utama di bawah NIMP 2030, termasuk melalui pelaksanaan Program Perjanjian Off-Take Plus (PPO Plus) yang menjamin pembelian ubat keluaran tempatan bagi tempoh tertentu.
Menurut Amrahi, jaminan pasaran ini penting bagi merangsang keyakinan pelabur untuk membangunkan fasiliti baharu dan memperkukuh teknologi sedia ada.
“Melalui PPO+, pengilang tempatan mempunyai jaminan pasaran yang menggalakkan pelaburan dalam fasiliti pembuatan ubat di dalam negara, sekali gus meningkatkan kapasiti dan keupayaan pengeluaran tempatan,” jelasnya.
Dalam masa sama, Malaysia turut mempergiat kerjasama antarabangsa termasuk dengan pengeluar API serta menarik syarikat multinasional untuk menjadikan negara ini sebagai hab pembuatan serantau.
“Malaysia berada pada kedudukan strategik. Kita sedang menarik syarikat antarabangsa untuk menjadikan negara ini sebagai hab pembuatan, bukan hanya untuk pasaran domestik tetapi juga untuk pasaran serantau,” ujarnya.
Malah, Malaysia turut memposisikan diri untuk menerajui agenda Keterjaminan dan Kemandirian Ubat-Ubatan ASEAN (ADSSR), yang menekankan kerjasama serantau dalam memastikan bekalan ubat kekal stabil.
“Aspirasi ini penting kerana isu bekalan ubat bukan boleh diselesaikan secara bersendirian. Pendekatan serantau memberi kekuatan kolektif, terutama ketika berlaku gangguan global,” katanya lagi.
Mengulas situasi semasa, beliau mengakui bahawa konflik geopolitik seperti di Asia Barat memberi kesan langsung kepada logistik dan bekalan ubat di peringkat global.
Mengulas lanjut Amrahi berkata, keadaan ini menunjukkan betapa pentingnya Malaysia mempercepatkan usaha membina keupayaan sendiri, termasuk dalam penghasilan API.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa langkah memperkukuh industri ini tidak boleh ditangguhkan, sebaliknya perlu dipercepatkan bagi memastikan negara tidak terlepas peluang strategik yang ada.
“Ini adalah isu yang perlu kita atasi secara menyeluruh. Soal keselamatan bekalan ubat berkait rapat dengan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” tambahnya.