Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) menyarankan para majikan agar tidak mengurangkan kos operasi dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerja walaupun dalam keadaan ekonomi yang dijangka tidak menentu tahun depan.

Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye berkata beliau mencadangkan para majikan agar tidak mengurangkan kos operasi mereka dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerja bagi mengelak daripada sebarang kemalangan.

Katanya, kemalangan melibatkan pekerja akan mengakibatkan kos yang lebih tinggi dan tidak akan menguntungkan mana-mana pihak, sebaliknya kemalangan hanya akan menjejaskan operasi para majikan.

"Saya hanya boleh mencadangkan supaya majikan tidak mengurangkan perbelanjaan mereka dalam aspek keselamatan dan kesihatan pekerja namun segala keputusan adalah terpulang kepada pihak pengurusan tertinggi majikan," katanya kepada pemberita sempena Hari Penghargaan kepada Pelatih NIOSH di sini hari ini.

Beliau berkata menurut Pertubuhan Keselamatan Sosial, bilangan kes kemalangan di tempat pekerja dijangka mencatatkan penurunan yang mana sebanyak 52,235 kes kemalangan dari Januari hingga Oktober telah dilaporkan tahun ini berbanding keseluruhan tahun lepas iaitu 63,357 kes.

"Walaupun jumlah kes kemalangan dijangka mencatatkan penurunan, kemalangan dalam perjalanan masih ditahap yang serius iaitu 23,831 kes dari Januari hingga Oktober tahun ini," katanya.

Beliau berharap syarikat-syarikat yang mempunyai banyak pekerja menunggang motosikal agar menganjurkan lebih kursus untuk mendidik pekerja supaya menunggang secara berhemah kerana sebanyak 65 peratus kes kemalangan maut di jalan raya adalah melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Sementara itu, Lee berkata NIOSH telah meluluskan peruntukkan RM2 juta untuk mendirikan dua hangar masing-masing di kampus Bangi dan kampus Johor Bahru bagi meningkatkan kemudahan latihan.

"Kerja-kerja pembinaan hangar ini akan bermula awal tahun dan dijangka siap dalam pertengahan tahun depan," katanya.

Beliau berkata NIOSH juga dalam proses untuk menambah tiga lagi cawangan baharu di Johor, Perak dan Sabah bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terjamin.

"Setakat ini, NIOSH mempunyai 12 cawangan dan atas pemintaan pihak majikan, NIOSH akan membuka tiga cawangan baru di Pengerang, Manjung dan Tawau pada awal tahun depan," katanya.