Nisbah pelajar peringkat menengah mengambil aliran Sains kini jauh tersasar daripada matlamat yang telah ditetapkan kerajaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Noorul Ainur Mohd Nur berkata pada tahun 1967, kerajaan menyasarkan kadar peratusan pelajar aliran Sains berbanding Sastera dengan nisbah 60:40.

"Namun keadaan semakin membimbangkan ketika ini apabila hasil kajian Akademi Sains Malaysia mendapati kita hanya mencapai 20 peratus pelajar aliran Sains dan 80 peratus aliran Sastera," katanya ketika berucap pada Forum Wanita Dalam Sains sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa MOSTI di sini, pada Rabu.

Majlis itu dirasmikan Penasihat Pembangunan Keusahawanan dan Ikhtisas Wanita di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Beliau berkata minat golongan itu terhadap bidang tersebut perlu dipupuk dan ditingkatkan memandangkan mereka merupakan pelapis pasaran tenaga kerja pada masa hadapan.

Justeru, beliau berharap kementerian dan agensi berkaitan dapat mengadakan usaha sama mewujudkan program yang berkesan bagi memupuk minat masyarakat terhadap bidang sains, teknologi dan inovasi.

Dalam perkembangan berkaitan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia Hazami Habib berkata golongan pelajar perlu diberi gambaran lebih jelas berhubung jenis pekerjaan dalam bidang sains, teknologi dan inovasi yang boleh mereka ceburi.

"Pelajar ini tak nampak pelbagai kerjaya yang ada dalam bidang sains sebab tak pernah ditonjolkan dan mereka hanya nampak cuma kerjaya profesional seperti peguam, ahli ekonomi dan doktor.

"Mereka tak tahu dalam bidang sains ini ada pelbagai peluang kerjaya contohnya ahli taksonomi (ahli sains pengelasan hidupan) dan di Malaysia setakat ini hanya ada dua orang," katanya.