SUBANG JAYA: Kerajaan tidak berhasrat untuk menambah bilangan hari bagi pemberian tol percuma sempena Aidilfitri tahun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata keputusan itu adalah muktamad dan sudah dibentang di Kabinet.

There’s no such thing as free lunch kalau kita ikut istilah ekonomi.

“Dengan lain kata, untuk dua hari perayaan, kerajaan akan bayar 33 syarikat konsensi lebih kurang RM38 juta...(dan) dalam sehari tu, RM19 juta dibayar oleh kerajaan melalui Kementerian Kewangan.

“Jadi pada kali ini, itulah yang diputuskan... dua hari iaitu tol percuma pada 8 dan 9 April,” katanya kepada media di Persada PLUS, hari ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi semalam mengumumkan kerajaan melalui Mesyuarat Jemaah Menteri pada 7 Februari lalu telah bersetuju untuk memberi kemudahan tol percuma selama dua hari bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Pemberian tol percuma ini akan dilaksanakan di kesemua lebuh raya bermula pada 12.01 tengah malam, 8 April 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada jam 11:59 malam, 9 April 2024 (Selasa) di mana Kerajaan akan memperuntukkan bayaran pampasan berjumlah RM37.60 juta.

Katanya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) turut akan mengaktifkan 18 laluan Smart Lane di lokasi tumpuan yang sering mengalami kesesakan kritikal.

Antara lokasi Smart Lane tersebut ialah laluan dari Gua Tempurung ke Gopeng, Slim River ke Sungkai, Setia Alam ke Shah Alam, Bukit Tambun (U) ke Plaza Tol Juru dan Bandar Cassia ke Hentian Sebelah Sungai Bakap.

Lorong Smart Lane juga akan diaktifkan di laluan Port Dickson ke Seremban, Kulai ke Senai dan Pandan ke Kempas.

Dalam pada itu, PLUS menjangkakan 2.1 juta trafik pada waktu puncak semasa perayaan Aidilfitri kelak, peningkatan 15 peratus berbanding 1.82 juta trafik pada hari biasa.

PLUS menetapkan 5, 6, 9, 12, 13 dan 14 April 2024 sebagai tarikh puncak yang mana melibatkan pergerakan pulang ke kampung dan juga kembali ke Lembah Klang.