Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersedia mengkaji membenarkan semula penggunaan pukat rentang di negara ini sekiranya dipersetujui majoriti nelayan.

Menterinya Datuk Seri Noh Omar berkata lesen pukat rentang dibekukan sejak 1990-an selepas mendapat bantahan nelayan pantai berikutan ia menjejaskan ekosistem perairan pantai dan memusnahkan benih ikan.

"Kita tidak ada masalah untuk berikan semula kebenaran tetapi ia perlu membabitkan sokongan majoriti nelayan dan permohonan rasmi dibuat oleh persatuan nelayan kawasan kepada kementerian," katanya ketika mengulas permohonan 36 nelayan pesisiran pantai di perairan Assam Jawa, dekat sini agar penggunaan pukat rentang dibenarkan semula.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan Bantuan Persekolahan RM100 setiap seorang kepada lebih 400 murid Sekolah Kebangsaan Sungai Terap di sini hari ini.

Sementara itu, Noh yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor berkata kesemua bahagian parti di negeri itu menyenaraikan tiga nama sebagai calon bagi setiap kerusi di kawasan masing-masing untuk pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Beliau berkata senarai calon itu telah dihantar kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Noh berkata semua Umno Bahagian menghantar senarai calon yang dilihat mampu memberikan kemenangan kepada BN pada PRU akan datang.

"Calon yang dipilih adalah mereka yang mampu berkhidmat untuk semua bangsa bukan Melayu sahaja," katanya.

Noh berkata apa yang penting semua pihak perlu sepakat menyokong sesiapa sahaja calon yang akan dipilih pemimpin tertinggi yang pastinya akan memilih mereka yang mampu membawa kemenangan kepada parti.