KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad dilantik sebagai Ketua Pengarah JBPM yang baharu berkuat kuasa semalam.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan Nor Hisham adalah bagi menggantikan Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin yang bersara wajib pada Disember lepas.

Pelantikan Nor Hisham diadakan pada Istiadat Pemakaian Tanda Pangkat Ketua Pengarah JBPM hari ini di kementerian terbabit yang dihadiri Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming serta Timbalannya Datuk Aiman Athirah Sabu dan Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Noor Azman Taib.

"KPKT mengucapkan tahniah atas pelantikan Nor Hisham dan akan memberi kerjasama dalam membawa JBPM ke arah kecemerlangan untuk memberikan perkhidmatan yang unggul kepada rakyat," menurut kenyataan itu.

Nor Hisham, yang dilahirkan pada 12 Okt 1972 di Panchor, Perak mendapat pendidikan awal di Pahang sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Malaya dan menerima Ijazah Sarjana Muda Pengajian Alam Sekitar pada 1996.

Pada 2002, beliau memperoleh Diploma Tertinggi Kebangsaan bagi Pengajian Pengurusan dan Operasi Kebakaran Majlis Pendidikan Teknologi dan Perniagaan (BTEC) daripada Universiti Lancashier Tengah, United Kingdom sebelum menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) di Universiti Teknologi MARA pada 2016.

Perjalanan karier beliau dalam perkhidmatan awam di JBPM bermula pada 16 Mei 1997 sebagai Penguasa Bomba Gred KB41 di Bahagian Keselamatan Kebakaran Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Nor Hisham pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam JBPM seperti Timbalan Ketua JBPM (Pembangunan), Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat (2020-2023), Pengarah JBPM Negeri Pahang (2018-2020), Pengarah JBPM Negeri Sarawak (2011-2018) serta Komandan Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Tengah (2009 - 2011).

Ketua Pengarah JBPM kesembilan itu juga pernah mengetuai beberapa operasi kebakaran dan penyelamatan berskala besar antaranya sebagai Komander Kanan Operasi mencari dan menyelamat helikopter terhempas di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei 2016 serta Pengarah Operasi Jawatankuasa Pengurusan Kecemasan Kebangsaan (NEMC) bagi banjir di Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan pada 17 Dis 2021.

-- BERNAMA