Seramai 300 gelandangan akan diberi peluang mengubah nasib mereka melalui program penempatan pekerjaan fasa pertama oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL).

Mereka akan dipilih dari kalangan lebih 700 gelandangan yang kini ditempatkan di sembilan Pusat Sementara Gelandangan (PSG) di beberapa lokasi di ibu negara sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Selain JTK, inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan melalui Jawatankuasa Khas Gelandangan itu membabitkan beberapa agensi termasuk Yayasan Kebajikan Negara, Agensi Antidadah Kebangsaan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan berkata, sesi taklimat kerjaya dan proses temu duga kerja diadakan pada 5 Mei lalu membabitkan tiga PSG, manakala baki enam lagi PSG akan diadakan minggu depan.

"Berdasarkan saringan temu duga membabitkan seramai 72 gelandangan lelaki, 21 daripada mereka telah ditawarkan pekerjaan dan akan mula bekerja 13 Mei ini.

"Baki 51 orang lagi akan ditemuduga oleh sembilan majikan lain dalam masa terdekat," katanya dalam kenyataan itu pada Jumaat.

Annuar berkata, kesemua syarikat terbabit akan menyediakan kemudahan tempat tinggal dengan pembayaran gaji mematuhi Perintah Gaji Minimum 2020 serta peraturan-peraturan lain yang ditetapkan mengikut Akta Kerja 1955.

Katanya, mereka turut memperoleh beberapa kemudahan lain seperti cuti tahunan, cuti sakit, cuti bergaji, bayaran lebih masa serta lain-lain peruntukan mengikut akta bekenaan.

Beliau berkata, majikan juga diwajibkan mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta Perkeso.