Jabatan Perhutanan Negeri Pahang telahpun mengeluarkan notis berhenti kerja kepada sebuah syarikat pembalakan berhubung penemuan kayu balak yang disyaki dicuri dan ditebang di Hutan Simpan Krau di Kuala Krau dekat Temerloh.

Pengarah Perhutanan Pahang Datuk Mohd Paiz Kamaruzaman berkata pihaknya turut menyita kayu balak itu yang ditemui berhampiran kawasan hutan simpan dan penempatan Orang Asli mulai 1 Julai lepas untuk siasatan lanjut.

Tiada tangkapan dibuat setakat ini berhubung penemuan kayu balak itu dan keputusan sama ada untuk menggantung lesen syarikat terbabit atau tindakan selanjutnya akan dibuat selepas selesai siasatan mengikut Akta Perhutanan Negara, katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Semalam Buletin TV3 melaporkan hampir 1,000 batang balak bernilai jutaan ringgit disyaki dicuri di Kuala Krau disita dengan balak berkenaan dipercayai ditebang di Hutan Simpan Krau bulan lepas.

Mohd Paiz berkata penemuan kayu balak yang disita itu hasil semakan pihak jabatan berkenaan di kawasan lapangan tersebut.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penemuan kayu balak itu kerana proses siasatan sedang berjalan bagi mengelak daripada mengganggu siasatan.