Skip to main content

Dunia

Korea Utara sasar lonjakan mendadak kekuatan nuklear – Kim Jong Un

North Korean leader Kim Jong Un delivers a speech as he visits the Central Cadres Training School of the Workers' Party of Korea (WPK) to mark its 80th anniversary, in Pyongyang, North Korea, June 1, 2026, in this picture released by North Korea's official Korean Central News Agency. KCNA via REUTERS ATTENTION EDITORS - THIS IMAGE WAS PROVIDED BY A THIRD PARTY. REUTERS IS UNABLE TO INDEPENDENTLY VERIFY THIS IMAGE. NO THIRD PARTY SALES. SOUTH KOREA OUT. NO COMMERCIAL OR EDITORIAL SALES IN SOUTH KOREA.
Pengeluaran bahan nuklear gred senjata Korea Utara dilaporkan meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu, kata Kim Jong Un. - Gambar fail Reuters

SEOUL: Pengeluaran bahan nuklear gred senjata Korea Utara dilaporkan meningkat lebih dua kali ganda dalam tempoh lima tahun lalu, kata pemimpinnya, Kim Jong Un pada Rabu, sambil berikrar untuk memperkukuh keupayaan nuklear negara itu secara mendadak.

Dalam lawatan ke sebuah kemudahan baharu pengeluaran bahan nuklear, Kim memaklumkan, Korea Utara telah merangka pelan masa depan yang bercita-cita tinggi bagi meningkatkan kekuatan nuklearnya pada kadar yang jauh lebih pantas.

Menurut agensi berita rasmi Korean Central News Agency (KCNA), pelan itu menetapkan keutamaan jelas untuk mempercepatkan peningkatan keupayaan nuklear dari segi jumlah dan teknologi.

Korea Utara melihat arsenal nuklearnya sebagai benteng pertahanan utama daripada ancaman Korea Selatan serta kehadiran tentera Amerika Syarikat di rantau berkenaan.

Mengulas perkembangan itu, Kim menyifatkan peningkatan yang dicapai sebagai perubahan besar dalam keupayaan ketenteraan negara.

“Ia melambangkan perubahan luar biasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata, satu pencapaian bersejarah yang menjadi penanda aras penting dalam usaha mempertingkatkan keupayaan nuklear kami secara pesat,” katanya.

Dalam pada itu, Pyongyang terus menolak tekanan antarabangsa, khususnya dari Amerika Syarikat, dan menegaskan tidak akan melepaskan senjata nuklearnya, yang disifatkan sebagai laluan pembangunan yang “tidak boleh dipatahkan.”

Korea Utara menarik diri daripada Perjanjian Non-Proliferasi Nuklear pada 1993 dan sejak itu telah melaksanakan enam ujian nuklear, sekali gus dikenakan pelbagai sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Negara itu juga dipercayai memiliki berpuluh-puluh hulu ledak nuklear, menjadikannya antara kuasa nuklear yang terus menjadi perhatian komuniti antarabangsa. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement