KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan tambahan satu kajian klinikal melibatkan vaksin COVID-19 pada 28 Mei lalu. 

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kajian klinikal itu melibatkan produk SARS-CoV-2 Vaccine (Vero Cells), Inactivated, 5μg/0.5mL yang dikilangkan pengilang Shenzhen Kangtai Biological Products Co. Ltd. di China.

"Kajian Klinikal Fasa 3 ini akan dijalankan di lapan pusat penyelidikan di Malaysia dengan sasaran peserta sebanyak 3,000 orang dewasa yang berumur 18 tahun dan ke atas serta dijangka mengambil masa selama 15 hingga 19 bulan.

"Malaysia merupakan salah sebuah negara yang terlibat dalam kajian klinikal ini selain daripada Colombia, Argentina, Pakistan, Filipina dan Ukraine.

"Vaksin ini juga telah diluluskan oleh negara China melalui Emergency Use Approval pada 14 Mei 2021," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu. 

Kata Dr Noor Hisham lagi, kajian klinikal vaksin COVID-19 yang dijalankan di Malaysia dapat memberikan
maklumat klinikal yang berkaitan dengan keberkesanan dan keselamatan vaksin, serta maklumat berkenaan kesesuaian vaksin kepada rakyat Malaysia.

"Ini merupakan kelebihan yang diperlukan oleh kerajaan untuk memacu ke arah capaian sasaran imuniti kelompok (herd immunity) melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sedang giat dijalankan di seluruh negara," ujarnya.