Skip to main content

Malaysia

Jerebu: Pelari maraton, individu cergas tetap berdepan risiko kesihatan - Pakar

Menjelang acara utama seperti KLSCM, F1 dan LTdL, peserta dinasihatkan membuat penilaian kendiri, menjaga hidrasi, serta tidak memaksa diri jika sesak nafas. Golongan rentan disaran menilai semula penyertaan. - Gambar fail/Bernama
Menjelang acara utama seperti KLSCM, F1 dan LTdL, peserta dinasihatkan membuat penilaian kendiri, menjaga hidrasi, serta tidak memaksa diri jika sesak nafas. Golongan rentan disaran menilai semula penyertaan. - Gambar fail/Bernama

Advertisement

KUALA LUMPUR: Individu yang aktif bersukan atau berstatus atlet larian maraton tetap terdedah kepada ancaman kesihatan akibat jerebu sama seperti orang awam, tegas Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Muhammad Adil Zainal Abidin. 

Menyangkal tanggapan bahawa kecergasan fizikal memberi kekebalan terhadap pencemaran udara, beliau menjelaskan bahawa kapasiti paru-paru yang sihat tidak mengurangkan risiko sekiranya terdedah kepada partikel jerebu. 

"Bagi mereka yang aktif sukan, kapasiti atau kesihatan paru-paru mereka memang bagus. Namun, faktor risiko apabila terdedah kepada jerebu sebenarnya sama seperti orang lain. 

"Jerebu bukan setakat memberi risiko serangan asma, tetapi ia juga faktor risiko kepada jangkitan bawaan udara (airborne) kerana partikel ampaian boleh bertindak sebagai pengganda kepada penyebaran virus atau bakteria," katanya ketika ditemu bual dalam program Pantau Agenda Reformasi terbitan Astro AWANI pada Jumaat.

Hujung minggu ini menyaksikan kalendar sukan negara padat dengan tiga penganjuran berskala besar yang mencapai kemuncaknya pada Ahad, iaitu perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat akhir di ibu negara, Formula 1 (F1) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), serta acara larian Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM). 

Mengulas mengenai penganjuran berkenaan, Dr Muhammad Adil berkata KLSCM membawa penilaian risiko tertinggi kerana ia membabitkan penyertaan secara langsung orang awam sebagai peserta aktif selain kehadiran puluhan ribu penonton. 

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para peserta agar sentiasa melakukan penilaian kendiri (self-assessment) dan tidak terlalu taksub mengejar catatan masa peribadi terbaik sekiranya badan menunjukkan tanda-tanda keletihan ekstrem. 

"Semasa larian, buat penilaian kendiri. Sekiranya timbul simptom seperti dada terasa ketat atau sukar bernafas, segera berhenti di stesen hidrasi atau dapatkan rawatan di stesen perubatan sebelum berhasrat meneruskan larian," jelasnya. 

Beliau turut menitipkan nasihat khusus kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas berumur 60 tahun ke atas, perokok, serta individu yang menghidap komorbiditi seperti asma tidak terkawal, penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD), dan jangkitan saluran pernafasan atas (URTI) agar menilai semula keputusan bertanding. 

Bagi status kualiti udara, Muhammad Adil menyambut baik ketiadaan sekatan penganjuran memandangkan sebahagian besar stesen Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) merekodkan bacaan sederhana di bawah paras 100. 

Bagaimanapun, sekiranya bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) melonjak ke tahap tidak sihat (antara 100 hingga 200), orang ramai dinasihatkan membuat pertimbangan wajar, manakala penganjur digesa mengambil langkah kontigensi seperti mewajibkan pemakaian pelitup muka atau menyaring kumpulan rentan. 

Selain itu, orang awam dan penonton yang hadir membanjiri venue acara turut dinasihatkan agar memastikan status hidrasi sentiasa optimum bagi mengelakkan komplikasi kesihatan sepanjang aktiviti berlangsung. 

 

Must Watch Video

Advertisement