Skip to main content

Malaysia

NRES jamin RUU Perubahan Iklim tidak ketepikan aspek adaptasi

Sumber: FB Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES)
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberi jaminan bahawa Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN) merangkumi kedua-dua aspek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim bagi melengkapi ekosistem perundangan negara.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memberi jaminan bahawa Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara (RUU PIN) merangkumi kedua-dua aspek mitigasi dan adaptasi perubahan iklim bagi melengkapi ekosistem perundangan negara.

Ini susulan pandangan yang disuarakan oleh Penasihat Kanan Pembangunan Mampan, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP), Dr Hezri Adnan menerusi program Agenda AWANI, bahawa RUU PIN lebih tertumpu kepada aspek mitigasi, sedangkan negara lebih memerlukan langkah adaptasi kepada perubahan iklim.

Dalam satu kenyataan pada Khamis, NRES menegaskan bahawa adaptasi merupakan sebahagian daripada kerangka tindakan di bawah RUU berkenaan, dan Malaysia kini mengambil pendekatan untuk melaksanakan tindakan mitigasi dan adaptasi secara serentak dalam menghadapi risiko perubahan iklim yang semakin kompleks.

“NRES mengambil maklum pandangan yang dilaporkan baru-baru ini berhubung RUU PIN, khususnya berkaitan keutamaan adaptasi dalam menghadapi risiko perubahan iklim.

“Pendekatan berasaskan analisis risiko dan kerentanan iklim merupakan antara elemen penting dalam tindakan adaptasi bagi mengenal pasti, menilai dan mengurus risiko perubahan iklim secara lebih sistematik,” jelas NRES.

Justeru, pendekatan itu dikatakan akan menyokong pembangunan sasaran adaptasi kebangsaan dengan mengambil kira risiko dan keperluan pelbagai sektor.

“Bagi menyokong proses tersebut, RUU PIN akan memperkukuh keupayaan Kerajaan untuk mendapatkan dan mengurus data serta maklumat berkaitan perubahan iklim daripada pelbagai sektor dan pihak berkepentingan.

“Sasaran adaptasi ini kemudiannya akan diterjemahkan melalui pembangunan Pelan Adaptasi Kebangsaan (MyNAP) bagi memperkukuh daya tahan negara terhadap kesan perubahan iklim, selaras dengan hala tuju Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0),” katanya.

Tambah NRES, Kumpulan Wang Perubahan Iklim di bawah RUU PIN turut akan menyediakan sumber pembiayaan khusus bagi menyokong pelaksanaan tindakan perubahan iklim, termasuk langkah-langkah adaptasi.

Sehubungan itu, NRES memaklumkan, RUU PIN yang merangkumi aspek mitigasi dan adaptasi berperanan sebagai pelengkap kepada dasar, pelan tindakan dan strategi perubahan iklim sedia ada serta yang sedang dibangunkan, dan bukannya menggantikan instrumen berkenaan.

Jelas NRES, kerajaaan giat membangunkan sebuah ekosistem tadbir urus perubahan iklim yang menyeluruh, merangkumi instrumen yang mempunyai fungsi khusus serta saling melengkapi.

Ini termasuk DPIN 2.0, RUU PIN, Nationally Determined Contribution (NDC) dan NDC Roadmap, Long-Term Low Emission Development Strategies (LT-LEDS), MyNAP, Fourth National Communication (NC4), Biennial Transparency Report (BTR), dan instrumen pasaran karbon.

“Keseluruhan kerangka ini akan disokong melalui mekanisme penyelarasan dan tadbir urus di peringkat nasional oleh Pihak Berkuasa Perubahan Iklim Negara (IKLIM) bagi memastikan dasar dan komitmen iklim dapat diterjemahkan kepada pelaksanaan, pelaporan dan pembiayaan yang lebih terancang, bersepadu dan berkesan,” kata NRES.

Menerusi program Agenda AWANI pada Selasa, Dr Hezri berkongsi pandangan tentang keperluan mencari keseimbangan antara pendekatan mitigasi dan adaptasi dalam kerangka dasar, terutamanya bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap aktiviti ekonomi yang tidak mampan, termasuk pembakaran bahan api fosil.

Ini berikutan amaran daripada Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP) pada awal September bahawa dunia dijangka melepasi had pemanasan global 1.5°C dalam beberapa tahun akan datang.
 

Must Watch Video

Advertisement