KULAI: Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) merekodkan kerugian berjumlah RM1.34 bilion melibatkan 33,235 kes jenayah dalam talian dari 1 Jan hingga 8 Dis tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata angka itu diperoleh NSRC berdasarkan aduan mangsa di talian 997.

Beliau berkata kerugian itu melibatkan enam modus operandi dengan jenayah pelaburan tidak wujud mencatatkan angka tertinggi iaitu RM437 juta diikuti e-dagang (RM383 juta), telekomunikasi (RM334 juta), e-kewangan (RM104 juta), love scam (RM41 juta) dan pinjaman tidak wujud (RM39 juta).

"Ini adalah rekod NSRC, maksudnya mereka yang menghubungi 997. Saya percaya pihak polis mungkin ada angka lebih lengkap kerana mungkin mangsa tidak menghubungi NSRC tetapi terus buat laporan polis.

"Angka ini menunjukkan peningkatan, jika dibandingkan pada tahun 2022 untuk tempoh sama kerugian yang direkodkan ialah RM804 juta tetapi pada 2023, jumlah ini naik kepada RM1.34 bilion," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program SWM Kasih Misi Sampul Merah di Kawasan Rukun Tetangga Taman Desa Kulai di sini hari ini.

Ahli Parlimen Kulai itu berkata orang ramai dinasihat supaya berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan pelbagai tipu helah sindiket jenayah dalam talian terutama pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi.

"Tidak boleh dinafikan bahawa masih banyak lagi yang menjadi mangsa untuk pelaburan tidak wujud. Mangsa kehilangan semua duit simpanan mereka. Oleh itu, sangat penting kita membuat semakan dengan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sama ada pelaburan itu diluluskan oleh mereka atau tidak.

"Apabila kita nak buat pelaburan untuk tambah pendapatan, janganlah mudah percaya dengan penipuan pelaburan yang menjanjikan pulangan sehingga dua angka atau lebih daripada 20 peratus. Kalau mereka begitu hebat, kenapa tidak berdaftar dengan SC?" katanya.

Mengulas mengenai Program SWM Kasih Misi Sampul Merah, Teo berkata pihaknya menjalin kerjasama dengan SWM Environment Sdn Bhd untuk menyantuni 50 keluarga berpendapatan rendah sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.

Beliau berkata ketua isi rumah bagi keluarga terbabit menerima sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan wang tunai RM100 yang bertujuan mengurangkan beban mereka dalam melakukan persiapan untuk menyambut perayaan itu.

-- BERNAMA