MALAYSIA
Nurul Izzah gesa tambah dana D11: “Anak Malaysia berhak hidup selamat”

Nurul Izzah Anwar, berkata hasil lawatannya ke unit berkenaan pada Julai lalu mendapati pelbagai kekangan perlu segera ditangani. - Facebook Nurul Izzah Anwar
KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa menambah peruntukan kepada Unit Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman dalam Belanjawan Oktober ini.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, berkata hasil lawatannya ke unit berkenaan pada Julai lalu mendapati pelbagai kekangan perlu segera ditangani.
“Ketika saya melawat unit mereka bulan lalu, mereka hanya bergantung kepada empat komputer lama..dengan sumber dan anggota yang terhad, mereka tetap cekal menangani jumlah kes yang semakin meningkat,” katanya.
Kenyataan beliau itu dikongsikan menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.Beliau turut menyatakan ada pihak yang sudah menghulurkan bantuan berupa sepuluh komputer baharu dan sebuah bilik temu bual khas untuk kanak-kanak mangsa telah diubah suai menjadi ruang yang lebih mesra serta selamat.
Namun, menurut anak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, usaha tersebut masih jauh daripada mencukupi.
Beliau turut menyatakan tugas pegawai-pegawai D11 yang berdepan cabaran semasa melihat rakaman jenayah kejam untuk melengkapkan siasatan mereka yang memerlukan kelengkapan yang cukup.
“Mereka perlu meneliti bukti melibatkan bayi seawal enam bulan, termasuk rakaman jenayah kejam yang bukan sahaja meragut maruah, tetapi turut dijual di laman gelap untuk keuntungan.
“Pegawai-pegawai D11 ini bukan manusia biasa, mereka adalah ibu, malah ada yang sudah bergelar nenek…namun demi mencari petunjuk untuk menangkap penjenayah, mereka sanggup menonton berulang kali setiap rakaman siasatan yang amat menyayat hati,” ujarnya lagi.
Nurul Izzah juga menegaskan, kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir dan serangan terhadap anak Bekas Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli adalah isyarat jelas agar kerajaan bertindak membantu unit tersebut.
“Jika kita gagal bertindak hari ini, lebih ramai anak-anak akan menjadi mangsa esok.
“Anak-anak Malaysia berhak hidup dengan selamat, tanpa ketakutan..mereka adalah aset masa depan negara, dan keselamatan mereka tidak boleh dikompromi,” katanya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami