Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) mengajak pihak berkepentingan seperti ahli akademik, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) atau mana-mana organisasi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berbincang bagi memantapkan Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga.

Setiausaha Agung NUTP Harry Tan Huat Hock berkata NUTP amat mengalu-alukan sebarang cadangan dan pandangan daripada masyarakat dan semua pihak berhubung perkara tersebut.

"Kesatuan Guru Sarawak (STU) dan Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Semarak, Nilai, Md Fakarudin Ab Rahman akan menyertai NUTP bagi memurnikan kod etika tersebut," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata Persatuan Rakan Peguam (LFF) pula dilantik untuk memberi nasihat dari segi undang-undang.

Baru-baru ini, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Kementerian Pendidikan menyambut baik cadangan NUTP untuk memperkenal Kod Etika Ibu Bapa/Penjaga bagi dijadikan panduan tatacara ibu bapa atau penjaga ketika berurusan dengan guru.

-- BERNAMA