MALAYSIA
NUTP minta KPM tubuh jawatankuasa khas selesai isu beban tugas guru

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang pada sidang media sempena kajian pertengahan penggal NUTP 2023-2026 hari ini. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) menggesa Kementerian Pendidikan (KPM) menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menangani isu beban tugas guru secara menyeluruh dan tuntas, memandangkan perkara itu telah berlarutan sekian lama.
Ringkasan AI
- Seramai 418,000 guru masih terbeban dengan tugas bukan akademik; NUTP menggesa KPM menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan segera.
- Guru sering diganggu di luar waktu kerja melalui aplikasi seperti WhatsApp; sistem pengurusan data yang tidak mesra pengguna turut memburukkan keadaan.
- NUTP mencadangkan penambahan peruntukan untuk guru ganti dalam Belanjawan 2026 serta semakan semula gred jawatan Guru Besar dan Penolong Kanan sekolah rendah.
"Walaupun isu ini telah lama dibangkitkan, penyelesaian tuntas masih belum dapat dirasai, terutama oleh guru di peringkat akar umbi," katanya pada sidang media sempena Kajian Pertengahan Penggal NUTP bagi sesi 2023-2026 di Teluk Bahang, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata antara faktor utama isu berkenaan masih berlarutan ialah sistem pengurusan dalam talian yang tidak mesra pengguna, terutama bagi pengisian data yang membebankan golongan pendidik.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata kewujudan pembantu guru di sekolah yang mempunyai lebih 1,500 murid juga dilihat belum mampu membantu secara efektif apabila masih terdapat guru yang terpaksa melaksanakan tugas pentadbiran di pejabat sekolah.
Selain itu, katanya persidangan NUTP selama tiga hari bermula Sabtu lepas turut membangkitkan sembilan isu utama lain yang akan dikemukakan kepada kerajaan termasuk KPM dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk tindakan selanjutnya.
Beliau berkata, antara cadangan yang dibangkitkan ialah keperluan KPM menggubal garis panduan khusus bagi mengelakkan gangguan terhadap guru di luar waktu kerja, kecuali bagi situasi mendesak.
Menurutnya, ketika ini guru sering diganggu menerusi aplikasi WhatsApp atau Telegram oleh pihak pentadbir sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk tugasan yang sebenarnya boleh diselesaikan pada keesokan hari dalam waktu bekerja.
Dalam perkembangan berkaitan, NUTP turut menggesa kerajaan menambah peruntukan bagi menggaji guru ganti dalam Belanjawan 2026, berikutan kekurangan kritikal guru ganti apabila guru tetap bercuti seperti cuti bersalin atau menunaikan ibadah haji.
NUTP juga meminta KPM menyelesaikan isu kekurangan guru akibat persaraan serta pertambahan kelas dan murid, selain meneliti semula kedudukan perjawatan bagi jawatan Guru Besar dan Penolong Kanan sekolah rendah yang ketika ini terhad kepada gred DG13 dan DG14.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami