Seorang pemandu kereta lelaki dan penumpang wanita nyaris maut apabila beberapa batang besi di tapak pembinaan LRT di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan menghempap kereta yang dinaiki mereka.

Dalam kejadian 9 pagi, besi itu terlepas dari mesin pengangkut semasa kerja mengangkat batang besi dijalankan dan terkena kenderaan mangsa jenis Honda Civic.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim berkata siasatan awal mendapati beberapa besi daripada tiang 88 projek LRT terbabit terjatuh dan menimpa kenderaan mangsa.

"Selepas dihempap besi, sebuah lagi kenderaan iaitu van jenis Nissan Vanette dari arah belakang turut merempuh kereta yang dipandu mangsa, bagaimanapun pemandu van tidak cedera.

Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke Sime Darby Medical Centre untuk mendapatkan rawatan," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Kebangsaan (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata kontraktor pembinaan LRT berkenaan perlu bertanggungjawab atas kejadian yang menimpa pengguna jalan raya itu.

"Masanya telah tiba bagi pengendali pengangkutan LRT agar memberi perhatian yang lebih terhadap sikap kontraktor mereka dan supaya kontraktor memastikan pengawasan yang betul untuk semua tugasan di tapak kerja," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu kontraktor yang bertanggungjawab bagi pakej A, projek penyambungan jajaran LRT bagi laluan Kelana Jaya, Trans Resources Corporation (TRC) Sdn Bhd, berkata mereka akan memantau dan meningkatkan prosedur keselamatan di tapak pembinaan.

Pengerusi Eksekutif TRC Datuk Seri Sufri Mohd Zin berkata semua langkah yang perlu dan langkah berjaga-jaga telah diambil oleh syarikat untuk mengelak kejadian seumpama itu berulang.

"Adalah menjadi kebimbangan dan keutamaan kami untuk menjalankan siasatan penuh punca kemalangan itu," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

"Kami bekerja rapat dan akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa berkaitan seperti Syarikat Prasarana Negara Berhad (SPNB) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) bagi penyiasatan yang sedang dijalankan berhubung kejadian ini," katanya.

Beliau berkata syarikat akan memantau dan meningkatkan prosedur keselamatan projek di tapak dan akan mematuhi apa sahaja nasihat dan keputusan yang dibuat oleh pihak berkuasa.

Sufri juga menyatakan syarikat itu kesal berhubung kejadian malang itu yang berlaku di tapak pembinaan mereka dan amat menyesali sebarang kesulitan yang timbul akibat daripada kejadian itu.