Presiden Amerika Syarikat Barack Obama pada sidang media bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut menjawab tentang kenyataan perkauman yang didakwa dibuat oleh pemilik NBA Los Angeles Clippers.

Obama maklum tentang kenyataan yang dibuat pemilik Clippers Donald Sterling dan yakin Persatuan Kebangsaan Bola Keranjang NBA akan menangani kontroversi itu.

Obama berkata kenyataan itu "amat menyakitkan hati " dan mempunyai unsur "perkauman".

"Saya tidak fikir saya perlu mentafsir kenyataan-kenyataan itu untuk anda," kata Obama.

"Apabila orang jahil ingin meluahkan kejahilan mereka, anda tidak perlu lakukan apa-apa, anda hanya membiarkan mereka bercakap."

Obama berkata NBA diminati oleh peminat di seluruh Amerika Syarikat dan mempunyai banyak pemain berketurunan Afrika Amerika dan sebati dalam budaya mereka.

"Saya yakin NBA akan mengambil langkah untuk menyelesaikan perkara ini."

Obama, presiden Amerika berkulit hitam pertama, dan merupakan pemain dan peminat bola keranjang, juga membuat kenyataan tentang situasi perkauman dalam masyarakat Amerika Syarikat, yang katanya masih bergelut dengan warisan perhambaan dan pengasingan (segregation).

"Kami perlu jelas dalam mengecam situasi ini,” kata beliau.

Sebelum ini satu rakaman audio dimuat naik di laman web TMZ yang didakwa adalah suara Sterling. Ia merakam suara lelaki yang sedang bertengkar dengan seorang wanita kerana beliau memuat naik gambar yang diambil bersama seseorang berkulit hitam dan menyuruh beliau untuk tidak membawanya ke perlawanan Clippers.

Komen berkenaan menimbulkan kemarahan di Amerika Syarikat.