Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) tegas menghantar mesej melahirkan sokongan kepada etnik Rohingya di Myanmar dan menekankan tentang perlunya menghentikan kekejaman terhadap masyarakat yang tertindas itu.

Duta khas OIC ke Myanmar Tan Sri Syed Hamid Albar berkata Sesi Luar Biasa Majlis Menteri-menteri Luar OIC mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di Myanmar, di sini pada Khamis mengemukakan resolusi yang mengandungi mesej tersebut.

Beliau juga mengalu-alukan cadangan oleh lebih 40 kumpulan masyarakat sivil di Myanmar semalam mengenai keperluan menjalankan "siasatan antarabangsa yang benar-benar bebas" terhadap situasi di wilayah Rakhine.

Syed Hamid juga menggesa kerajaan Myanmar untuk membuka seluas-luasnya sempadan untuk membolehkan bantuan kemanusiaan sampai ke kawasan yang terjejas.

"Satu mekanisme perlu ada untuk menunjukkan bahawa bantuan (yang mereka terima atau akan terima) mencapai sasaran. Kami mahu Myanmar memulihkan kembali kredibilitinya," kata beliau kepada pemberita di luar sesi.

Menteri Luar Palestin Dr Riad Malki berkata mesyuarat itu sangat amat di kalangan negara anggota OIC untuk menangani isu di wilayah Rakhine.

"Itulah sebabnya kita berhimpun di sini. Kita melihat krisis itu semakin meruncing. Kita menghargai semua langkah-langkah yang diambil Malaysia untuk mengadakan mesyuarat ini dan menyediakan peluang untuk tujuan itu," kata beliau.

Rakan sejawatan beliau dari Indonesia, Retno Marsudi berkata Jakarta mahu membantu Myanmar dan Rohingya mewujudkan toleransi dan suasana harmoni bermula di peringkat akar umbi.

"Jadi, sebab itulah kita membuka sekolah bukan sahaja untuk masyarakat Islam tetapi juga untuk komuniti Buddha. Ini bukan kali pertama Indonesia cuba membantu Myanmar. Kami telah berbuat demiian sejak dahulu dari segi membangunkan kapasiti untuk hak asasi manusia, tadbir urus dan demokrasi. Oleh itu, kami mahu untuk mengukuhkannya.

"Indonesia bersedia untuk memainkan peranan penting dan membantu Myanmar dan masyarakat Islam," kata beliau.

Retno berkata beliau akan mengetuai delegasi untuk mesyuarat peringkat tinggi di Yangon tidak lama lagi dan melawat wilayah Rakhine untuk meninjau secara lebih dekat krisis itu.

Menteri Luar Iran, Mohammad Javad Zarif berkata negara anggota OIC perlu menggemblengkan usaha mendesak masyarakat antarabangsa menangani isu itu.

"Negara-negara anggota OIC harus memanfaatkan hubungan dua hala dan pelbagai hala dengan kerajaan Myanmar bagi menyelesaikan isu tersebut," kata beliau.

Timbalan Menteri Luar Turki Ahmet Yildiz berkata Kerajaan Turki dan rakyatnya sentiasa bersemangat untuk membantu etnik Rohingya dan gembira Malaysia menganjurkan mesyuarat untuk membincangkan masalah itu.

"Saya amat gembira dengan hasil mesyuarat hari ini dan bahawa kita bersatu dalam pendirian mengenai isu berkenaan. Kita sedang berhubung dengan pihak berkuasa Myanmar tentang bagaimana untuk menghulurkan bantuan dan kita menyeru kepada semua rakan antarabangsa untuk berbuat demikian," kata beliau.

Menteri Negara Bangladesh bagi Hal Ehwal Luar Shahriar Alam berkata negara-negara anggota OIC jelas memanfaatkan platform itu dengan menyuarakan pendapat bagi keterlibgatan yang lebih bermakna.

Duta Besar Somalia ke Malaysia Abukar Abdi Osman memberi amaran bahawa situasi Rohingya di Myanmar adalah sama dengan keadaan di Somalia pada tahun 1990-an sebelum situasi bertambah meruncing sehingga mencetuskan perang saudara.

Beliau berkata, perang saudara telah menyebabkan kejatuhan kerajaan Somalia "yang kita tidak dapat menanganinya selama hampir 20 tahun.

Isu Rohingya boleh mewujudkan keadaan tidak stabil untuk Myanmar dan ia akan memberi peluang kepada pengganas untuk menyusup masuk ke negara itu dan rantau berkenaan.

Oleh itu, beliau berkata, kerajaan Myanmar harus membenarkan etnik Rohingya hidup dalam suasana aman dan harmoni di negara itu.

Setiausaha Persatuan Muslim Burma, Kyaw Win melahirkan penghargaan kepada kepada rakyat Malaysia, terutama kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kerana menyokong nasib minoriti Islam Rohingya di Myanmar.

Win berkata persatuan itu, yang menghadiri mesyuarat sebagai pemerhati, gembira dengan hasil mesyuarat dan resolusi yang diluluskan.

Sesi Luar Biasa Majlis Menteri-menteri Luar OIC mengenai Situasi Minoriti Islam Rohingya di Myanmar diadakan atas permingtaan Kerajaan Malaysia.

Menurut laporan, krisis di wilayah Rakhine menyebabkan ribuan etnik Rohingya melarikan diri dari Myanmar di tengah-tengah laporan mengenai kekejaman termasuk rogol dan pembunuhan, yang dinafikan oleh kerajaan Myanmar. -- Bernama