Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung di dalam sebuah kereta yang terbakar di Kawasan Perindustrian Bukit Makmur, di Sungai Petani, petang tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.12 petang.

Katanya, lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Amanjaya dikerah ke lokasi dan tiba 12 minit kemudian.

Sebaik api dipadamkan, pihaknya mendapati sebuah kereta jenis Perodua Alza terbakar dengan kemusnahan lebih 90 peratus.

Katanya mangsa seorang lelaki OKU berusia 38 tahun rentung di dalam kenderaan terbabit bagaimanapun identiti mangsa masih belum dikenalpasti.

Mayat mangsa kemudian di hantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk tindakan lanjut sebelum diserahkan kepada polis.

Punca kebakaran masih dalam siasatan.