KUALA LUMPUR: Perancangan dua hala untuk menghubungkan Singapura secara terus ke destinasi gelembung pelancongan tempatan seperti Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu, tetap akan diteruskan, kata Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Bagaimanapun, Menteri Kanan Pertahanan berkata, Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 ke-9 hari ini turut memutuskan, ia tidak akan dilaksanakan dengan segera selepas mengambil kira kewujudan baharu varian Omicron yang sedang menular pantas di beberapa negara ketika ini.

Menurut Ahli Parlimen Sembrong itu lagi, kerajaan juga akan terus memantau perkembangan varian tersebut di negara-negara lain selain mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai Omicron.

“Mesyuarat Kuartet mengambil maklum perbincangan dua Perdana Menteri baru-baru ini (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakon dan Lee Hsien Loong) berhubung kait kemungkinan destinasi lain yang berpotensi seperti dari Singapura ke Pulau Pinang, Langkawi, Kuching dan Kota Kinabalu.

“Saya sudah minta semua pihak untuk terus memikirkan dan berbincang dengan pihak negara berkenaan, tetapi kita takkan buat keputusan sehingga kita tahu kesan sebenar dan impak sebnar varian baharu ini,” katanya dalam sidang media di Parlimen pada Selasa.

Varian Omicron, merupakan varian terbaharu COVID-19 yang sedang menular di beberapa negara Afrika, dan maklumat awal mendapati ia mempunyai 32 jenis mutasi protein berbanding Delta (9 mutasi protein), menjadikan varian baharu itu mempunyai kadar kebolehjangkitan lebih tinggi.

Pada Isnin, Ismail Sabri telah mengadakan lawatan rasmi beliau ke Singapura untuk bertemu dengan rakan sejawatannya, Hsien Loong, sempena pelaksanaan Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) melalui udara dan sempadan darat antara Malaysia dan Singapura.

Dalam pada itu Hishammuddin berkata, kemunculan varian Omicron itu setakat hari ini tidak mengganggu perancangan kerajaan untuk melihat pembukaan lebih banyak gelembung pelancongan lain selepas kejayaan Langkawi.

“Kita tengah pantau di mana negara yang melihat kesan daripada varian baharu ini, ia berubah setiap jam sebenarnya. Dan ini tidak akan menjejaskan rancangan kita setakat hari ini, membenarkan pelancong antarabangsa untuk pilot project kita Langkawi – yang baru dibuka berapa minggu lalu.

“Kita baru saja buka Langkawi pada 15 November lepas untuk pelancong antarabangsa dan kalau tak ada perkara yang menghalang kita membuka gelembung pelancongan lain, saya rasa ini untuk MOTAC (Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan) bentangkan kepada Mesyuarat Kuartet sebelum di bawa kepada sidang khas yang dipengerusikan Perdana Menteri,” katanya lagi.

Mengulas mengenai gesaan beberapa negara Afrika yang kecewa sempadan ditutup ke atas rakyat dan pengembara dari negara berkenaan, Hishammuddin berkata, ia bukan kerana faktor geopolitik.

"Pendirian kita bukan kerana geoplitik atau hubungan dua hala, tetapi ia bersandarkan risiko keselamatan. Kita banyak berkisar kepada nasihat dan pandangan KKM (Kementerian Kesihatan Makaysia). Apa yang telah diumumkan Menteri Kesihatan tak jauh daripada apa yang negara lain umumkan di luar sana.

“Jadi saya percaya bahawa negara Afrika akan faham, ia bukan berhubung kait dengan isu diplomasi atau geopolitik, tetapi kesihatan. Takkan nak jejaskan apa yang kita lakukan selama satu tahun setengah, dengan tindakan tidak bertanggungjawab (seperti tiada sekatan pergerakan),” tegas Hishammuddin lagi.