KUALA LUMPUR : Liputan vaksinasi kalangan kanak-kanak perlu dipertingkatkan bagi mengekang penularan jangkitan COVID-19 melibatkan varian baharu Omicron XE.

Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman menjelaskan, ketika ini, vaksinasi kumpulan kanak-kanak yang berumur lima hingga 11 tahun masih rendah dan situasi itu disifatkan sebagai suatu yang membimbangkan.

Kata Dr Malina, tumpuan dan kawalan juga perlu diberikan kepada kanak-kanak bawah usia lima tahun dan kumpulan berisiko yang tidak boleh divaksin bagi mengelak mereka dijangkiti varian baharu COVID-19.

"Satu fakta membimbangkan, liputan vaksin kanak-kanak masih rendah iaitu kurang dari 40 peratus. Kita harap liputan vaksinasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dapat dipertingkatkan di samping kawalan terhadap kanak-kanak berusia kurang lima tahun serta warga emas dan golongan berisiko yang tidak boleh divaksin.

"Kalau kita boleh memberikan tumpuan kepada kumpulan berkenaan dengan langkah pencegahan disyorkan KKM , kita mampu mengekang penularan varian baharu COVID-19 di negara kita," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu. 

Pada Selasa, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, belum ada kes varian Omicron XE di Malaysia, namun ia dikatakan telah dikesan di negara jiran.

BACA: Varian Omicron XE belum dikesan di Malaysia - Khairy

 

Mengulas lanjut, Dr. Malina berkata, negara memerlukan liputan vaksinasi yang sangat baik bagi mengekang penularan jangkitan varian baharu itu.

Justeru, arahan pergerakan tidak boleh dilaksanakan bagi tempoh masa panjang sebaliknya, situasi itu boleh ditangani melalui langkah kawalan dan pencegahan pihak berkuasa serta vaksinasi dalam kalangan masyarakat.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran bahawa Omicron XE lebih mudah berjangkit berbanding mana-mana varian COVID-19.