Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, beliau tidak terkejut dengan keputusan MCA tidak membariskan namanya dalam senarai calon untuk dipertimbangkan oleh Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.

Ahli Parlimen Pandan itu menjelaskan, ia ekoran kedudukannya yang tidak sehaluan dengan kepimpinan MCA yang sekarang diterajui oleh Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.

"Pengumuman Dr. Chua Soi Lek malam semalam (Rabu) yang kebetulan atau secara sengaja di Pandan tidak mengejutkan saya. Memang ini saya jangka. Saya jangka bukan sekarang, sejak dua hingga tiga tahun lepas," katanya dalam satu sidang media di pusat khidmat beliau di Pandan Indah.

Soi Lek dalam satu majlis di Pandan Indah pada Rabu malam memperkenalkan calon baru yang dicadangkan oleh MCA untuk mewakili BN dalam PRU-13 nanti iaitu Gary Lim, 39 tahun, seorang peguam.

Dalam pengumumannya, Soi Lek berkata, Tee Keat tidak lagi dapat sokongan daripada komponen lain dalam BN. Tee Keat bagaimanapun menepis dakwaan itu.

Sambil menegaskan rakyat kini bijak menilai setiap prestasi wakil rakyat, beliau memaklumkan tidak perlu untuk memberi perhatian lebih terhadap perkara itu.

"Dalam soal ini saya tidak nampak perlu saya layan banyak sangat. Sama ada saya boleh menang atau tidak, atau hala tuju saya, saya akan tentukan hala tuju saya dan selama ini siapa yang kerja siapa yang tidak, rakyat yang akan tentukan,"ujarnya.

Tee Keat bagaimanapun enggan mengulas apakah akan bertanding dalam PRU-13 nanti sebagai calon bebas.

Pengumuman mengenai pengguguran Tee Keat mencetuskan pelbagai reaksi.

Ditanya apakah isu ini bakal memberi impak negatif kepada parti, bekas Presiden MCA ini mahu Dr. Chua Soi Lek bertanggungjawab atas setiap kenyataan yang dikeluarkkan.

"Kenalah tanya Presiden sekarang. Saya kata apa yang seseorang pemimpin itu cakap, dia kenalah tanggung. Kenalah dia buat penilaian sendiri. Itu saja," tambahnya.

Tee Keat jadi wakil rakyat di Parlimen Pandan sejak lima penggal lalu. Beliau merupakan antara 15 ahli parlimen MCA yang terselamat dalam tsunami politik 2008 dan calon tunggal yang memenangi kerusi parlimen di Selangor.