MALAYSIA
Op Abai: JKM Pulau Pinang kesan ibu bapa 18 kanak-kanak diselamatkan

JKM mendapati kesemua kanak-kanak itu telah berada di dua premis yang diserbu berkenaan agak lama iaitu sekurang-kurangnya dua tahun, malah mendakwa tidak tahu ibu bapa atau ahli keluarga mereka. - Gambar fail/Sinar Harian
GEORGE TOWN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pulau Pinang sedang mengesan ibu bapa atau keluarga kepada 18 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Abai, yang dijalankan serentak di dua premis di Bukit Mertajam dekat sini pada 21 Julai lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri Lim Siew Khim berkata setakat ini dua daripada 20 kanak-kanak yang diselamatkan itu telah diserahkan kepada penjaga terdekat mereka.
"Pihak JKM sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk proses dokumentasi terhadap kanak-kanak yang berusia 15 hari hingga 16 tahun itu. Pada masa sama, JKM juga menemu bual mereka bagi mengenal pasti identiti dan ibu bapa atau keluarga untuk diserahkan.
"Jadi saya juga minta ibu bapa atau ahli keluarga kepada 18 kanak-kanak itu tampil bagi membantu siasatan dan mengambil anak mereka. Namun jika tiada penjaga, kami akan tempatkan mereka di bawah institusi JKM," katanya ketika ditemui Bernama pada Majlis Perasmian AI Horizon 2025 di Arena Spice, dekat sini hari ini yang dirasmikan Ketua Menteri Chow Kon Yeow.Beliau berkata siasatan JKM mendapati kesemua kanak-kanak itu telah berada di dua premis yang diserbu berkenaan agak lama iaitu sekurang-kurangnya dua tahun, malah mendakwa tidak tahu ibu bapa atau ahli keluarga mereka.
Lim berkata 12 daripadanya termasuk bayi didapati tiada dokumen sijil kelahiran atau pengenalan diri yang sah dengan kebanyakannya bercakap dalam bahasa Mandarin dan pihak JKM sedang menjalankan siasatan lanjut bersama beberapa agensi lain bagi mengenal pasti kewarganegaraan mereka.
Beliau memaklumkan kesemua mereka ketika ini berada dalam keadaan sihat dan selamat serta ditempatkan di institusi yang diwartakan sebagai 'Tempat Selamat' oleh kerajaan dan menerima Perintah Jagaan Sementara daripada Mahkamah Bukit Mertajam.
"Semua kanak-kanak itu mendapat penjagaan yang sewajarnya dan ketika ini JKM juga memberikan aktiviti yang menyokong kesejahteraan fizikal dan emosi mereka," katanya.
Media sebelum ini melaporkan 10 kanak-kanak lelaki dan 10 kanak-kanak perempuan termasuk seorang bayi berusia 15 hari diselamatkan JKM Pulau Pinang dalam Op Abai dalam operasi khas dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia di sebuah gudang di kawasan kilang dan sebuah rumah yang dijadikan pusat pembelajaran tidak berdaftar.
Sebahagian daripada kanak-kanak itu tidak mempunyai penjaga sah dan dipercayai tidak menerima keperluan asas mencukupi, sekali gus dikategorikan sebagai Kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami