IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas 2,162 peket minyak masak bersubsidi 1 kilogram dalam Operasi Ayam, Telur & Minyak Masak (Op ATM) Fasa II sejak 1 Julai lalu.

Pengarah KPDNHEP, Perak Saifullizan Kamarul Zaman berkata, minyak masak itu dirampas dari sebuah premis runcit di Parit Buntar kerana mengenakan pembelian bersyarat kepada pembeli yang ingin membeli minyak masak berkenaan.

Selain itu, katanya, terdapat 10 kes lagi melibatkan kesalahan kegagalan dalam mengemas kini penyata stok dan deklarasi dokumen.

Menurutnya, perbuatan-perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDNHEP memberi amaran keras kepada mana-mana individu dan syarikat agar tidak terbabit atau bersubahat melakukan aktiviti penyelewengan dan menyorok barang kawalan/subsidi serta pengenaan syarat,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Menurutnya, sebanyak 478 pemeriksaan ke atas rantaian bekalan minyak masak paket 1 kilogram bersubsidi telah dilaksanakan dalam operasi itu.

Katanya, pemeriksaan itu melibatkan operasi pengauditan dan pemutihan terhadap pengilang, pemborong serta premis runcit termasuk 26 syarikat pembungkus (repacker) minyak masak paket bersubsidi yang beroperasi di seluruh negeri Perak.

“Pemeriksaan menumpukan tempat penyimpanan bekalan, pemprosesan pengeluaran dan pembungkusan minyak masak peket, selain mendapatkan deklarasi atau maklumat lengkap daripada pengusaha premis yang diperiksa berkaitan minyak masak,” ujarnya.

Saifullizan berkata, KPDNHEP Perak juga sentiasa mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan dengan kerjasama pelbagai pihak berkuasa melalui Op Bersepadu bagi membanteras dan memerangi kegiatan penyelewengan minyak paket bersubsidi.

Di samping itu, kata beliau, orang ramai digalakkan bertindak sebagai mata dan telinga dalam melaporkan sebarang salah laku dan aktiviti yang mencurigakan terhadap barangan bersubsidi, terutamanya minyak masak peket.