Isu pendatang asing tanpa izin (PATI), penyeludupan dadah dan daun ketum sering dikaitkan dengan pencerobohan sempadan negara.

Mengapa dan bagaimana kawalan kawasan sempadan negara sering dibolosi si penjenayah rentas sempadan?

Astro AWANI mengikuti lima siri rondaan secara eksklusif bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) di sempadan utara negara.

Jika dilihat dari mata kasar, kawasan sempadan negara seakan sunyi. Tetapi, sebaliknya, aktiviti penyeludupan tidak pernah berhenti meskipun dengan kawalan keselamatan.

Anggota enam briged melakukan rondaan di sekitar utara sempadan Malaysia - Thailand. -Astro AWANI/Fareez Azman

Menurut Panglima Markas 6 Briged, Brigadier Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid, pelbagai aset ketenteraan digunakan dalam menumpaskan sindiket penyeludupan rentas sempadan itu.

"Kita di markas enam briged mengawal selia kawasan operasi (OP Teras) kawasan Tentera Darat yang anggota beroperasi dari sempadan Bukit Kayu hitam sehingga ke Weng, Perlis sejauh 260 kilometer.

"Kita meronda, mendirikan pos pendengaran dan penglihatan tidak kira malam atau siang, hujan atau panas, kita terus beroperasi," katanya.

Malah dron serta radar turut digunakan untuk mengesan sebarang pergerakan di sempadan negara.

Hanya dalam tempoh beberapa bulan sahaja, lebih daripada 20 lorong tikus berjaya dikesan manakala 14 siri rampasan daun ketum bernilai RM1.44 juta berjaya dilakukan.

"Mereka sangat licik, penyeludup menggunakan rangkaian besar menggunakan penduduk tempatan kita dan negara sahabat.

"Apabila kita dapati, semua pergerakan kita diintip, kita terpaksa menggunakan muslihat untuk memintas mereka," kata Mohd Halim.

Anggota enam briged turut menggunakan motosikal lasak untuk memudahkan rondaan di sekitar sempadan. -Astro AWANI/Fareez Azman

Cabaran sama turut dihadapi Batallion Tiga Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (PGA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di sempadan negara.

Timbalan Komander Batallion Tiga Briged Utara, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata daun ketum antara yang mendapat permintaan tinggi dari negara jiran.

Ia dipercayai selepas negara jiran mengharamkan penanaman mahupun pengunaan daun ketum di negara itu.

"Kes daun ketum sepanjang yang kita lakukan operasi, ada 176 kes dilaporkan melibatkan 51,274 killogram bernilai RM 2.8 juta.

"Kita sudah tangkap 41 rakyat tempatan, 13 rakyat Thailand dan seorang lelaki Indonesia," katanya.

Timbalan Komander Batallion Tiga, Briged Utara, Pasukan Gerakan Am (Kanan) ACP Mohd Nasaruddin M Nasir menunjukkan daun ketum yang dirampas. -Astro AWANI/Fareez Azman

Bagi memastikan kawasan pagar sempadan negara terus dijaga, anggota Batallion Tiga, jelasnya, sentiasa meronda di kawasan panas yang menjadi laluan tikus si penyeludup.

Selain pemantauan dari darat, helikopter turut digunakan bagi mengesan sebarang pergerakan penyeludup.

Pemerhatian Astro AWANI turut mendapati keadaan pagar sempadan negara dilihat uzur dan memudahkan sindiket memotong serta membolosi sempadan negara.

Anggota Batallion Tiga, Briged Utara, Pasukan Gerakan Am sentiasa bersiap sedia berhadapan dengan sindiket. -Astro AWANI/Fareez Azman

Lebih mengejutkan, laluan tikus yang ditutup oleh anggota keselamatan dibuka semula oleh si penyeludup.

Sudah tentu ia menyukarkan anggota keselamatan untuk mengawal setiap inci sempadan negara sejauh 662 kilometer itu.

Jika dihitung dari harga pasaran daun ketum pula menjangkau kepada RM9 sekilogram menjadikan barangan larangan itu mendapat permintaan tinggi di negara jiran.

Sepanjang laluan pagar sempadan, puluhan pos keselamatan di dirikan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi memintas sebarang penyeludupan.

Terbaharu, sindiket semakin licik dengan menggunakan 'silencer' atau penyenyap bunyi motosikal untuk mengelak dikesan.

Kayu 'silencer' digunakan penyeludup dan dimasukkan ke dalam ekzos motosikal menyebabkan bunyi deruman lebih perlahan. -Astro AWANI/Fareez Azman

Bagaimanapun, taktik itu berjaya dikesan anggota Batallion Tiga dan membawa kepada penahanan beberapa individu rakyat tempatan dan rampasan empat buah motosikal yang diubah suai.

Turut dirampas hampir 10 guni daun ketum dengan berat setiap guni dianggarkan 30 kilogram.

Tindakan ini menunjukkan penyeludup semakin licik dalam usaha mengelak dikesan pihak berkuasa.

Bagaimanapun, jelas Nasaruddin, pihaknya sentiasa mendapatkan maklumat daripada risikan pihak berkuasa negara jiran.

Laluan tikus yang dibuka semula penyeludup meskipun telah ditutup anggota keselamatan. -Astro AWANI/Fareez Azman

Sindiket bukan hanya dilihat tidak henti melakukan jenayah rentas sempadan, malah boleh bertindak ganas dengan melanggar anggota keselamatan ataupun melepaskan tembakan jika terdesak.

Pemerhatian Astro AWANI turut mendapati masih terdapat 33 kebun daun ketum yang aktif di sekitar negeri Kedah.

Dari sudut peraturan dan penguatkuasaan undang-undang pula dilihat seolah olah tidak memberi pengajaran setimpal kepada si penyeludup ataupun sindiket.

Mengikut Seksyen 30(5) Akta Racun 1952 (Pindaan 2003) memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga empat tahun atau kedua-duanya.

Sehingga kini dianggarkan sebanyak 33 kebun daun ketum di Kedah masih lagi aktif. -Astro AWANI/Fareez Azman

Di satu sudut, undang-undang Akta Racun 1952 perlu dilihat semula agar aktiviti penyeludupan daun ketum tidak terus berleluasa di negara ini.