KUALA KURAU: Seorang kru nelayan warga Thailand yang dilaporkan jatuh laut pada kedudukan 22.1 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau, ditemukan selamat pada Selasa oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan Azman Hamid berkata, operasi tersebut dijalankan melalui APMM Zon Maritim Kuala Kurau.

Mohd Najhan berkata, berdasarkan laporan polis yang diterima pada Selasa, jam 6.20 petang, Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau telah menyalurkan maklumat kepada Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Langkawi.

Ujarnya, ia bagi mengaktifkan operasi carilamat pada jam 8 malam, di samping bot Maritim Perkasa 1239 digerakkan ke lokasi untuk memulakan pencarian.

"Mangsa yang jatuh laut dikenali sebagai Rungrot Phettongkhad, 35 tahun, mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"Dia jatuh laut sekitar jam 8 pagi pada Selasa dan ditemukan selamat oleh sebuah bot nelayan kelas C, pada hari yang sama.

"Bot tersebut melalui kawasan itu sekitar jam 8.05 malam di kedudukan tujuh batu nautika dari Pulau Pasir Hitam, Perak," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Najhan berkata, mangsa mengakui tergelincir jatuh laut dari bot ketika sedang belayar ke laut dari pangkalan nelayan Bagan Panchor, sekitar jam 8 pagi bersama dua kru warga Thailand termasuk tekong.

Tambahnya, ketika itu dia sedang mencuci tong simpanan ikan dalam keadaan laut bergelora.

"Mangsa sempat berpaut pada tong yang jatuh bersamanya sebelum diselamatkan oleh bot nelayan tempatan dan dibawa ke pelantar ikan di Bagan Panchor untuk pemeriksaan kesihatan," katanya lagi.

Beliau berkata, APMM menzahirkan penghargaan kepada semua agensi dan komuniti maritim yang terlibat dalam operasi berkenaan.

Beliau turut menasihatkan supaya mereka yang berkenaan memakai jaket keselamatan dan memeriksa keadaan cuaca sebelum keluar melakukan aktiviti di laut.

Sebarang pelanggaran undang-undang maritim, orang ramai boleh melaporkannya ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919).