Skip to main content

Malaysia

Op Gali Mega: 24 lombong haram dikesan, 99 orang ditahan

Op Gali Mega. Astro Awani.
Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (tengah) ketika di Op Gali Mega Pasukan Gerakan Am (PGA) di Bukit Aman, hari ini. - Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sebanyak 24 lombong haram dikesan dalam Op Gali Mega Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dilaksanakan di 10 negeri sepanjang 19 hingga 23 Ogos lalu.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, sebanyak 45 lokasi perlombongan diperiksa dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, daripada jumlah itu, hanya 21 lokasi mempunyai lesen perlombongan yang sah dan negeri Sabah merekodkan jumlah lokasi perlombongan tertinggi diperiksa menerusi Op Gali Mega dengan 14 lokasi, daripada keseluruhan 45 lokasi di 10 negeri.

“Seramai 146 individu telah diperiksa dan daripada jumlah tersebut, seramai 99 orang ditangkap atas pelbagai kesalahan, membabitkan 61 warganegara dan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Kesemua tangkapan berusia antara 18 hingga 64 tahun. 

"Sebanyak 43 kesalahan dikesan sepanjang operasi berkenaan, membabitkan 14 peruntukan undang-undang. Daripada jumlah itu, tujuh peruntukan adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, manakala tujuh lagi di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan," katanya dalam sidang media Op Gali Mega di sini, hari ini. 

Sehubungan itu, beliau berkata operasi berkenaan turut mengesan 32 individu dan 21 syarikat yang dipercayai terbabit dalam aktiviti perlombongan berkenaan.

Katanya, senarai individu dan syarikat terbabit telah diserahkan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) untuk tindakan siasatan bagi mengesan kemungkinan berlaku ketirisan cukai.

Bagi tindakan susulan, katanya, kesemua kes yang disiasat akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) untuk arahan kompaun atau pertuduhan di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang Negeri atau Persekutuan.

"Kebanyakan barang kes disita di lokasi serbuan, manakala sebahagiannya disimpan di depoh simpanan agensi.

“Kesemua barang kes akan dirujuk bersama kertas siasatan kepada TPR untuk arahan kompaun atau lucut hak di bawah peruntukan undang-undang negeri dan Persekutuan,” katanya lagi. 

Must Watch Video

Advertisement